Pengarah Pendidikan Terengganu ziarah mantan pengarah derita kanser tulang - Utusan Malaysia

Pengarah Pendidikan Terengganu ziarah mantan pengarah derita kanser tulang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 25 Dis. – Kepemimpinan tertinggi Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) meluangkan masa menziarahi mantan Pengarah Pendidikan Terengganu, Datuk Abdul Rahim Tahir di kediamannya di Kajang, Selangor baru-baru ini.

Kunjungan itu diketuai Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin yang turut diiringi timbalannya serta semua Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Terengganu.

Menurutnya, Abdul Rahim yang pernah menjadi pengarah pendidikan Terengganu dari tahun 1994 hingga 1998 kini terlantar akibat penyakit kanser tulang.

“Akibat kanser tulang yang dihidapi sejak tiga bulan lalu, beliau tak dapat lagi bergerak aktif dan kini terlantar di rumahnya dengan bantuan kerusi roda.

“Beliau (Abdul Rahim) menamatkan perkhidmatan awam sebagai ketua jemaah nazir pada 2005,” katanya menerusi aplikasi whatsapp di sini hari ini.

Shafruddin memberitahu, Abdul Rahim dianggap sebagai pencetus kebangkitan pendidikan di Terengganu menerusi idea-ideanya yang melangkaui zaman.

Jelasnya, jasa dan sumbangan besar dalam membangunkan bidang pendidikan di negeri ini membolehkan Abdul Rahim mendapat anugerah tokoh guru negeri pada tahun 2008 dan kebangsaan pada 2009. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN