Pemuda Amanah Lumut tidak setuju harga petrol mingguan - Utusan Malaysia

Pemuda Amanah Lumut tidak setuju harga petrol mingguan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 26 Dis. – Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Lumut tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan yang mahu melaksanakan kaedah penetapan harga petrol secara mingguan.

Ahli Jawatankuasanya, Mohd. Ikhmal Mohd. Iskandar berkata, dengan pengapungan harga setiap minggu ditambah penetapan harga siling sebanyak RM2.20, ia memberi kesan negatif kepada pasaran khususnya kepada pengusaha stesen minyak dan pengguna.

Katanya, dengan pengapungan harga setiap minggu, pasaran akan menjadi panik dalam kalangan pengguna malah sekali lagi akan wujud ‘pesta kenduri’ di stesen-stesen minyak.

“Dahulu kita melihat pengguna akan beratur panjang di stesen minyak pada Selasa malam, mungkin kali ini kita akan melihat pengguna beratur panjang pada hari yang lain pula.

“Kami menyokong kerajaan memberi reaksi positif kepada penurunan harga minyak dunia dengan menurunkan harga bahan bakar di stesen-stesen tetapi tidak menyokong pengapungan secara mingguan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, harga bahan bakar memberi kesan berantai atau domino effect kepada industri yang lain kerana apabila harganya sering berubah-ubah, banyak industri lain akan terkesan khususnya industri pembuatan, peruncitan dan pengangkutan.

Katanya, pihaknya mencadangkan agar kerajaan membuat julat harga tertentu sebagai respon kepada pergerakan harga minyak dunia.

“Kami mencadangkan julat harga khusus Petrol Ron 95 dan Diesel seperti berikut iaitu RM1.85=harga minyak dunia di bawah AS$50/tong, RM2.05=harga minyak dunia di antara AS$51- AS$70/tong dan RM2.20=harga minyak dunia melebihi AS$70/tong.

“Kami berpendapat penetapan tiga harga yang berbeza mengikut kadar minyak dunia dapat memberi kestabilan harga di pam berbanding penetapan harga secara mingguan yang mana boleh mengakibatkan suasana panik dalam kalangan pengusaha dan pengguna,” katanya.

Menurutnya, Malaysia sebagai pengimport bahan bakar untuk penggunaan domestik sebenarnya saban bulan mengimport bahan bakar dalam harga yang tetap yang mana hanya sedikit dipengaruhi oleh harga semasa.

Jelasnya, ini kerana apabila negara mengimport bahan bakar dalam jumlah yang besar, pasti mendapat harga yang istimewa daripada pihak yang diimport.

“Justeru sebarang kenaikan atau penurunan harga dunia tidak memberi kesan besar kepada harga bahan bakar yang dibayar apatah lagi bahan bakar yang diimport mampu bertahan sehingga tiga minggu lamanya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN