KUANTAN – Seorang pelajar, Mohammad Mukhriz Haykel Mohammad Mahayaddin, 16, meninggal dunia dalam kejadian kemalangan di Jalan Taman Perdana, Pekan dekat sini pukul 1.50 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Amran Sidek berkata, mangsa yang belajar di Kolej Vokasional Shah Alam, Selangor disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini pada pukul 6 petang tadi.
Menurut beliau, mangsa yang menunggang motosikal jenis SYM dikatakan keluar simpang secara mengejut di tempat kejadian sebelum dirempuh sebuah kereta jenis Proton Saga dipandu seorang lelaki berusia 49 tahun.
“Pemandu kereta tersebut cuba membrek kenderaannya tetapi terlanggar bahagian tepi kanan motosikal ditunggang mangsa.
“Penunggang motosikal mengalami kecederaan kepala dan dihantar ke HTAA Kuantan untuk rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia beberapa jam kemudian,” kata beliau.
Tambah beliau, pemandu kereta yang bekerja di Taman Industri Automotif Pekan tidak mengalami kecederaan dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE










