KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi memberi tempoh dua bulan kepada pihak pembelaan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman yang menghadapi 35 pertuduhan memperoleh rasuah konsesi balak membabitkan jumlah AS$ 63.3 juta (RM263 juta) 13 tahun lalu, sama ada mahu memindahkan kes rasuah yang dihadapinya ke Mahkamah Tinggi atau tidak.
Hakim Rozina Ayob membuat perintah itu selepas peguam Francis Ng Aik Guan yang mewakili Musa memaklumkan setakat ini pihaknya belum memutuskan untuk berbuat demikian.
Menurut Francis ini kerana pasukan pembelaan belum menerima sepenuhnya semua dokumen berhubung kes tersebut.
“Selepas kita menerima semua dokumen itu baru pihak kami akan putuskan sama ada untuk memindahkan kes ini atau tidak. Oleh itu pihak pembelaan memohon satu tarikh lain bagi pengurusan kes untuk membolehkan kami memaklumkan kepada mahkamah,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan telah menyerahkan beberapa dokumen kepada pihak pembelaan, namun masih banyak lagi dokumen belum diserahkan dan pihaknya memerlukan masa untuk berbuat demikian.
Berikutan itu mahkamah menetapkan 20 Februari tahun depan untuk pengurusan kes selanjutnya termasuk pihak pembelaan memaklumkan status kes itu.
Pasa 5 November lalu, Musa, 67, mengaku tidak bersalah pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ke 35 Musa sebagai Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah didakwa telah secara rasuah memperoleh AS$63.3 juta (RM263 juta) untuk dirinya daripada lapan individu yang merupakan pemilik konsesi iaitu Lim Nyuk Foh, Looh Chai Boon, Chia Tien Foh, Mazlan Zakaria, Lo Man Hen, Nasir Yeo Guan Hock, Ngui Ing Chuang dan Nip Wing Hon melalui pelbagai akaun sebagai dorongan untuk memberi kontrak konsesi balak terhadap 16 buah syarikat.
Syarikat-syarikat itu ialah Syarikat Bountiful Returns Sdn Bhd, Syarikat Segar Tepat Sdn, JV Lestari Sdn. Bhd, Tamabina Sdn. Bhd, Sabapiorneer Sdn Bhd, Danagaya Sdn. Bhd, LR Enterprise Sdn. Bhd, Lembah Mayang Sdn. Bhd. dan Fast Progress Sdn. Bhd, Maju Sinar Network Sdn. Bhd, Syarikat Eden Region Sdn. Bhd, Gasing Selatan Sdn. Bhd, Tetap Simfoni Sdn Bhd, Asiatic Lumber Industries Sdn. Bhd. dan Eramewa Sdn. Bhd.
Kesemua perbuatan itu dilakukan di pelbagai bank di Hong Kong dan Singapura antaranya
HSBC Claymore Plaza Singapura, UBS AG Bank, Central Hong Kong, Credit Suisse, Singapura dan Fortis Private Banking Singapura antara 20 Disember 2004 hingga 6 November 2008.
Berikutan kesemua pertuduhan dikemukakan dibawah subseksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 (akta 575) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 14 tahun dan maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda atau RM10, 000 mengikut mana-mama yang lebih tinggi jika sabit kesalahan. – K! ONLINE











