SEREMBAN 26 Dis. – Negeri Sembilan telah menerima jumlah pelaburan sebanyak RM1.6 bilion untuk 20 projek sejak Januari tahun ini hingga Jun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Dr. Mohamad Rafie Ab. Malek (PH-Ampangan) berkata, daripada jumlah itu, RM1.1 bilion adalah sumbangan pelaburan asing manakala bakinya sebanyak RM500,000 adalah pelaburan tempatan.
“Sebanyak 20 projek yang diluluskan ini bakal menawarkan kira-kira 1,661 peluang pekerjaan di negeri ini,” katanya menjawab pertanyaan P. Gunasekaran (PH-Seremban Jaya) dalam Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini baru-baru ini.
Mohamad Rafie berkata, kerajaan negeri juga sedang meneliti permohonan daripada beberapa pelabur baharu tempatan dan luar negara yang berminat untuk menjalankan perusahaan di negeri ini. UTUSAN ONLINE.










