SEGAMAT 5 Dis. – Seorang nenek menempuh pengalaman hitam apabila tangannya tersangkut dalam lubang saluran air sebelum diselamatkan tiga hari kemudian oleh anggota bomba.
Siti Jauriah A. Ghani sedang membersihkan bilik air di rumahnya di Jalan Perdana 1, Bukit Siput di sini apabila tangannya tersangkut ketika cuba membersihkan bahagian saluran air.
Warga emas itu bernasib baik apabila anaknya, Yazid Haron, 50, mula mengesyaki ibunya dalam kesulitan tiga hari kemudian selepas percubaan menghubungi mangsa gagal.
“Pagi tadi, saya bergegas ke rumah emak dan mendapati tangannya tersangkut dalam saluran air hingga paras bahu.
Emak memberitahu saya tangannya sudah tersangkut sejak tiga hari lalu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Segamat, Wahim Abd. Rahman berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan pukul 9.23 pagi.
“Pihak bomba terpaksa memecahkan dinding dan lantai bilik air untuk membebaskan mangsa. Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Segamat dan kini dalam keadaan stabil,” ujarnya.










