Melayu terperangkap conteng arang sesama sendiri - Sultan Nazrin - Utusan Malaysia

Melayu terperangkap conteng arang sesama sendiri – Sultan Nazrin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA – Umat Melayu Islam sedang terperangkap dalam perlumbaan menconteng arang sesama sendiri, masing-masing ghairah menepuk air di dulang dan airnya semakin terpercik ke muka sendiri, titah Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Titah baginda, budaya politik negara ini menjelmakan ketaksuban baharu, menghidupkan budaya asabiah dan menganjurkan pemikiran mengutamakan kesetiaan kumpulan daripada kepentingan menerima kebenaran, malah mencanai minda mementingkan kumpulan daripada kelangsungan ummah lebih menyeluruh.

Sultan Nazrin bertitah, umat Melayu hari ini kelihatan beransur lemah kerana telah kehilangan semangat ukhuwah, lemah jati diri, semakin hanyut dalam perlumbaan kebendaan dan semakin mabuk dilambung gelombang persaingan kuasa.

“Islam telah membina umat Melayu berdisiplin, amanah, jujur, luhur dan ikhlas; Islam telah menyatukan umat Melayu dengan membina ukhuwah hingga umat Melayu bersatu teguh sehingga muncul sebagai umat yang kuat; tetapi hari ini umat Melayu kelihatan beransur lemah,” titah Sultan Nazrin di Bandar Hilir di sini hari ini.

Baginda bertitah sedemikian ketika menyempurnakan Majlis Pelantikan Ahli Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Majlis Hakim-hakim dan Pendaftar Mahkamah Syariah Negeri Melaka di sini yang turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob; Anggota Jemaah Pemangku Raja Perak, Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin; dan Ketua Menteri Melaka,  Adly Zahari. – Bernama
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN