DUNGUN – Seorang mekanik maut manakala rakannya cedera parah selepas kereta Proton Persona yang dinaiki mereka terbabas lalu merempuh sebuah perhentian bas di Kilometer 94, Jalan Kuala Terengganu – Kuantan berhampiran Kampung Tebing Tembah di sini semalam.
Dalam kejadian 6.45 petang itu, Mohd. Azlan Omar, 38, yang berasal dari Kampung Nyior, Paka dekat sini meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, rakan mangsa, Mohd. Khaironizam Mohd. Hanafi, 36, yang memandu kereta Proton Persona tersebut pula pula cedera parah di bahagian kepala, bahu dan kaki.
Beliau berkata, sewaktu kejadian, Mohd. Azlan dan Mohd. Khaironizam dalam perjalanan balik ke Kampung Nyior dari bandar Dungun.
“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, kereta Proton Persona yang dipandu Mohd. Khaironizam tiba-tiba hilang kawalan menyebabkannya berpusing beberapa kali sebelum merempuh perhentian bas yang terdapat di tepi jalan.
“Rempuhan itu menyebabkan kereta tersebut terperosok masuk ke dalam perhentian bas terbabit,” katanya kepada Kosmo! Online di sini hari ini. – K! ONLINE










