KUALA LUMPUR 26 Dis. – Majlis Belia Malaysia (MBM) melancarkan Tabung Kemanusiaan bagi membantu mangsa-mangsa yang terjejas teruk akibat tragedi tsunami yang melanda Anyer, Banten di Indonesia, baru-baru ini

Timbalan Presiden MBM, Muhammad Fadzli Hassan berkata, pihaknya dukacita dan simpati dengan nasib yang menimpa rakyat Indonesia kerana terpaksa berdepan dengan pelbagai ujian sepanjang tahun ini.
“Tahun ini banyak ujian menimpa saudar-saudara kita di Indonesia termasuk berlakunya beberapa gempa bumi dan tsunami.
“Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul, semoga keluarga mangsa yang terjejas terus tabah dengan ujian tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Rakyat Malaysia yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank 564025403782 atas nama Tabung Kemanusiaan Majlis Belia Malaysia.
Untuk maklumat lanjut, boleh menghubungi Ahli Jawatankuasa Kerja MBM, Hazrul Hafizi Abd. Halim di talian 017-5855563. – UTUSAN ONLINE










