KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang juga mangsa samun cedera parah akibat ditetak menggunakan sebilah kapak ketika mengeluarkan wang di mesin juruwang automatik (ATM) sebuah bank di Plaza Sri Sinar, Segambut semalam.
Dalam kejadian pukul 8.30 pagi itu, mangsa berusia 24 tahun parah ditetak di bahagian kepala dan belakang bahu oleh seorang lelaki.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S. Shanmugamoorthy berkata, mangsa didatangi seorang lelaki bersenjatakan kapak ketika ingin mengeluarkan wang.
Katanya, berlaku pergelutan antara mereka ketika suspek mengarahkan mangsa mengeluarkan wang.
“Dalam pergelutan itu, suspek bertindak menetak bahagian kepala dan belakang bahu mangsa sebelum melarikan diri menaiki sebuah pacuan empat roda.
“Mangsa tidak mengalami sebarang kerugian dan mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Kuala Lumpur,” katanya semalam.
Menurutnya lagi, bertindak atas maklumat dan risikan pihak polis berjaya menahan dua lelaki dipercayai terlibat dalam kes berkenaan.
“Dua lelaki berusia 24 dan 33 tahun itu ditahan sekitar ibu negara pada pukul 10 malam tadi.
“Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 393/397 Kanun Kesesksaan iaitu samun menggunakan senjata,” ujarnya. – K! ONLINE










