Lelaki dijel, mengaku curi di kedai serbaneka - Utusan Malaysia

Lelaki dijel, mengaku curi di kedai serbaneka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 26 Dis. – Seorang penghantar dokumen dihukum penjara 40 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mencuri di sebuah kedai serbaneka, minggu lalu.

Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Muhammad Danial Al-Haziq Mohd. Zaini selepas lelaki itu mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mencuri kabel telefon, wang tunai dan pelbagai jenis rokok sehingga menyebabkan penjaga setor, Muhammad Raiz Azarin Mohd. Razali, 24, ketakutan akan dicederakan.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di Kedai 7 Eleven, Taman Beringin, Sentul di sini pada pukul 4 pagi, 17 Disember lalu.

Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Mohd. Ashif mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat.

Terdahulu, Muhammad Danial yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman penjara singkat dengan alasan dia menyara keluarga, selain ini merupakan kesalahan pertamanya bagaimanapun pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN