Laporan bedah siasat Adib dijangka siap dalam tempoh sebulan - Utusan Malaysia

Laporan bedah siasat Adib dijangka siap dalam tempoh sebulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Laporan penuh bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim dijangka siap dalam tempoh satu bulan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, tempoh tersebut diperlukan jika ahli patologi berpendapat ujian darah perlu dilakukan dan mengikut kelaziman, keputusan mengambil masa kira-kira satu bulan.

Bagaimanapun, menurut Boon Chye, sekiranya laporan kecederaan sudah mencukupi untuk mengetahui punca sebenar kematian, maka ujian darah tidak diperlukan.

“Ahli patologi akan tahu sama ada perlu atau tidak untuk menjalani ujian darah untuk kesinambungan kecederaan yang dialami oleh Adib,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program gotong-royong di Kampung Rapat Jaya Tambahan di sini hari ini. 

Muhammad Adib, 24, anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan dari Balai Bomba Subang Jaya cedera parah dalam insiden rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Subang Jaya pada 27 November lepas.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember lalu. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN