Lapan lelaki proses samsu haram direman - Utusan Malaysia

Lapan lelaki proses samsu haram direman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 29 Dis. – Lapan lelaki yang dipercayai memproses dan mengedar arak tiruan di sekitar Lembah Klang dan ditangkap dalam serbuan di sebuah rumah di Ulu Yam Bharu, direman selama dua hari bagi membantu siasatan bermula hari ini.

Kesemua suspek yang berusia antara 21 hingga 38 tahun itu direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 3(1)(a) Akta Membaharui Undang-Undang (Samsu Gelap) 1976.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bak Phai berkata, bertindak atas maklumat awam sepasukan anggota dari Ibu pejabat Polis Daerah Hulu Selangor menyerbu sebuah rumah di Jalan Kaloi 5D, Taman Desa Kaloi dekat sini malam tadi.

Menurutnya, dalam serbuan pada pukul 11.30 malam semalam, kesemua suspek ketika itu sedang mengangkat kotak-kotak berisi cecair alkohol tiruan dan botol kosong ke dalam sebuah lori yang diletakkan di halaman rumah terbabit.

“Polis merampas 142 botol arak tiruan pelbagai jenama, dua tong dram dan satu tong plastik dipercayai mengandungi cecair arak tiruan. Kita juga merampas 457 kotak dan 237 kotak berisi botol-botol kosong, masing-masing dalam dua buah lori dipercayai milik sindiket berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bak Phai memberitahu, pihaknya turut merampas tiga buah lori dipercayai digunakan sindiket berkenaan dalam menjalankan aktiviti memproses dan mengedar arak tiruan tersebut.

“Semua tangkapan dan rampasan dibawa balik ke IPD Hulu Selangor untuk siasatan lanjut,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN