SAXONY, Jerman – Seekor kuda belang ditemui berkeliaran di tengah-tengah kawasan bandar Dresden sekali gus menyebabkan penduduk bandar terpinga-pinga dengan kehadiran haiwan tersebut.
Kuda belang itu dirakam berlari berhampiran orang ramai sebelum menghilangkan diri di belakang sebuah bangunan. Haiwan itu merupakan salah satu daripada empat ekor kuda belang yang terlepas daripada kurungan sebuah sarkas di sini.
Satu rakaman menunjukkan polis menggunakan sejumlah kenderaan ketika aksi kejar-mengejar untuk menangkap semula kawanan mamalia itu.
Kuda belang itu dipercayai dibawa ke bandar Dresden untuk satu persembahan khas tetapi melarikan diri sewaktu acara pembukaan sarkas berkenaan.
Kesemua kuda belang itu berjaya ditangkap semula berhampiran tebing sebatang sungai dekat sini, namun salah seekor mamalia itu mati akibat kegagalan fungsi jantung yang dipercayai berpunca akibat tekanan sewaktu dikejar. – Agensi










