KPM nafi beli pembesar suara melebihi harga pasaran - Utusan Malaysia

KPM nafi beli pembesar suara melebihi harga pasaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menafikan laporan sebuah blog yang memetik maklumat menerusi aplikasi WhatsApp oleh seorang guru yang mempersoalkan harga pembelian pembesar suara di sekolahnya yang didakwa terlalu mahal berbanding harga pasaran.

KPM dalam kenyataan hari ini berkata, laporan yang bertajuk Cikgu sekolah tampil mendedahkan RM80 juta dirompak dari Kementerian Pendidikan itu merupakan satu fitnah melampau yang berniat jahat.

Katanya, KPM tidak pernah dan tidak bercadang untuk membuat sebarang pembelian peralatan tersebut dalam jumlah yang besar pada harga yang tidak munasabah.

“Ia merugikan kerajaan dan wang rakyat terutamanya sejak Pakatan Harapan membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada bulan Mei lalu.

“Selain itu, laporan itu juga bertujuan menjejaskan imej dan reputasi Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik, KPM dan kerajaan baharu,” katanya.

Menerusi kenyataan itu, siasatan dalaman yang dikendalikan oleh KPM menunjukkan bahawa dua buah sekolah di Selangor yang baru dibuka Mei lalu mendapati kedua-dua sekolah dibekalkan kemudahan seunit alat pembesar suara yang dibeli Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.

Ujarnya, peralatan itu berharga RM1,720 seunit dan bukan RM6,000 seunit seperti yang didakwa.

“Pembelian kedua-dua peralatan itu juga melalui proses perolehan yang teratur dan mengikut prosedur kewangan.

“Selain itu, guru yang memuat naik hantaran di laman sosial Facebooknya semalam telah mengakui kesilapan dan telah mengaku tersilap mendakwa hal yang tidak benar mengenai butiran harga peralatan tersebut hari ini,” katanya.

Tambah kenyataan itu, guru tersebut juga telah memohon maaf atas kekhilafan yang telah dilakukan.

Terdahulu, hari ini gempar di laman sosial Facebook apabila seorang guru telah memuat naik gambar dua buah pembesar suara yang dibekalkan oleh KPM di sekolah.

Guru tersebut mendakwa dua buah peralatan itu berharga RM12,000 malah dia telah menyemak harga sebenar pembesar suara itu dan ia berharga RM1,500 untuk setiap satu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN