KUALA LUMPUR 19 Dis. – Pertelingkahan membabitkan dua seteru dilihat semakin berterusan apabila AirAsia menyifatkan peningkatan caj perkhidmatan penumpang (PSC) yang dikenakan Malaysia Airport Holdings Bhd. (MAHB) adalah tidak wajar dan akan memberi kesan negatif terutama kepada para pelanggan MAHB sendiri.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, sektor pelancongan secara keseluruhanya adalah satu daripada penyumbang besar pendapatan Malaysia dan kepentingan jutaan rakyat Malaysia yang boleh terbang melalui inisiatif tambang rendah yang diterajui oleh AirAsia kini terancam disebabkan kenaikan harga PSC oleh MAHB.
Sehubungan itu, katanya, pihak AirAsia menyeru penguat kuasa dan pembuat dasar menolak inisiatif yang tidak wajar dan tidak munasabah oleh MAHB dalam menggunakan kedudukan monopoli mereka untuk terus mengaut keuntungan kepentingan syarikat berkenaan dengan menilai semula dan membatalkan keputusan menaikkan kadar PSC.
“Caj tambahan RM23 yang akan dikutip berjumlah lebih daripada RM100 juta setahun itu akan terus ke MAHB dan bukan kepada pihak kerajaan.
“MAHB akan terus menjadi antara syarikat yang paling menguntungkan untuk tempoh bertahun-tahun akan datang, tetapi ini akan memudaratkan ekonomi Malaysia dan memberi kesan kepada pemangkin pertumbuhan ekonomi negara seperti AirAsia dan AirAsia X,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian susulan laporan kewangan MAHB yang merekodkan keuntungan bersih lebih daripada tiga kali ganda pada 2017 iaitu pada kadar RM237 juta peningkatan daripada RM73 juta pada tahun sebelumnya.
Jumlah itu juga hampir dua kali ganda daripada keuntungan RM40 juta pada 2015 dan dijangka mencatat rekod baharu tahun ini.
Peningkatan mendadak keuntungan MAHB itu dikaitkan dengan dua faktor iaitu peningkatan dalam PSC dan jumlah penumpang menerusi lapangan-lapangan terbang mereka.
Sementara itu, syarikat penerbangan tambang rendah itu sekali lagi menegaskan pendiriannya untuk menentang kes saman yang dikemukakan MAHB.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Malaysia Benyamin Ismail berkata, ini kerana tambahan RM23 yang dikenakan ke atas PSC dilihat sebagai hanya memberi manfaat kepada pemegang saham MAHB dan bukannya pengguna Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).
“Kami akan bersungguh-sungguh menentang kes saman ini. Kami tidak akan bersekongkol dalam skim membebankan rakyat yang memerlukan mereka membayar lebih untuk perkhidmatan yang tidak berkualiti,” katanya. – UTUSAN ONLINE










