Keluarga lima remaja rentung, kesal waris majikan lepas tangan - Utusan Malaysia

Keluarga lima remaja rentung, kesal waris majikan lepas tangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 26 Dis. – Keluarga lima remaja yang terkorban dalam kebakaran rumah kedai dua tingkat di Kawasan Perindustrian Jelapang Maju pada 11 Disember lalu terkilan apabila tiada waris kepada majikan tampil bertanya khabar atau membantu mereka.

Bapa salah seorang mangsa, Mohamad Kamari Talib, 53, berkata, dia kesal apabila sehingga ke hari ini, tiada mana-mana individu daripada pihak majikan datang berjumpa mereka walaupun semasa menuntut jenazah di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

“Kami kesal apabila keluarga majikan tidak datang berjumpa. Bukan kami mahu pukul atau marah, benda telah terjadi tetapi sekurang-kurangnya datang dan berjumpa kami.

“Tenaga (pekerja) mereka mahu tetapi apabila terjadi sesuatu, mereka lepas tangan. Semasa di rumah mayat pun mereka tidak bertemu kami walaupun mereka juga ada di sana,” katanya.

Mohamad Kamari yang juga bapa kepada Mohamad Ekmal Izzudin, 16, berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Bantuan Khairat Kematian kepada ahli keluarga mangsa kebakaran di Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Kampung Sri Aman, Menglembu di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, Jabatan Pendidikan negeri menyampaikan Skim Takaful Kemalangan Diri Berkelompok sebanyak RM5,500 kepada setiap mangsa yang masih bersekolah iaitu Ahmad Faizal Aminuddin, 16; Mohamad Ekmal Izzuddin; Mohammad Nuraiman Abdul Rahman, 16, dan Mohammad Nor Ikram Mohd. Husni, 15.

Selain itu, Persatuan Usahawan Bersatu Ipoh (PUBI) turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM6,000 kepada enam mangsa kebakaran termasuk majikan yang turut terkorban, P. Thiagarajan, 40, dimana setiap seorang menerima RM1,000.

Turut memberi sumbangan kepada keluarga mangsa ialah Masjid Abdul Rahman Auf di Kampung Rapat Koperasi dan Masjid Menglembu yang masing-masing menyumbangkan RM2,500 dan RM1,000.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 1.54 petang itu, keempat-empat remaja yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Menglembu dan seorang lagi rakan mereka, Muhamad Azhar Shah Rosli, 19, serta Thiagarajan rentung di tingkat atas rumah kedai dua tingkat berkenaan.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN