KUALA LUMPUR 14 Dis. – PengenaLan levi pelepasan dalam Belanjawan 2019 boleh mengurangkan lebih 500,000 pelancong ke Malaysia pada 2020 seterusnya memberi impak kepada ekonomi secara meluas.
Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menerusi laporan Potential Deadweight Loss of Departure Levy mencadangkan satu penilaian kesan menyeluruh perlu dijalankan sebelum dasar itu diperkenalkan.
Katanya, ia bagi mengelakkan wujudnya deadweight loss menerusi levi baharu itu dengan lebih banyak kerosakan kepada ekonomi daripada pendapatan baharu yang diharapkan oleh kerajaan.
Levi baharu itu, jelasnya, akan melebarkan jurang daya saing antara Malaysia dan destinasi lain di rantau ini, dengan bayaran tambahan tujuh hingga sembilan peratus melebihi negara jiran seperti Thailand, Indonesia dan Singapura.
“Berdasarkan perbelanjaan purata oleh pelancong, ini akan menyebabkan kehilangan hampir RM1.8 bilion dalam perbelanjaan pelancong terhadap ekonomi Malaysia.
“Kerajaan menjangkakan memperoleh kira-kira RM400 juta hasil daripada levi ini pada 2020 meliputi perjalanan syarikat penerbangan perkhidmatan penuh bagi jarak dekat dan Asia,” katanya di sini hari ini.
IDEAS mempersoalkan sama ada langkah itu berbaloi atau tidak memandangkan satu-satunya kesan positif levi pelepasan adalah peningkatan hasil cukai sedangkan impak negatif lebih banyak.
Menurutnya, ketibaan pelancong yang lebih rendah pada masa depan memberi cabaran kepada sektor penerbangan dalam usaha mencatatkan pertumbuhan masa depan.
“Ia bukan sahaja mengehadkan industri penerbangan Malaysia dan peluang pekerjaan malah memberi kesan kepada ekonomi secara menyeluruh dan status antarabangsa sebagai destinasi pelancongan.
“Sektor pengangkutan udara menyokong pembangunan ekonomi yang lebih luas termasuk menggalakkan perdagangan dan menarik pelaburan,” katanya.
Dalam pembentangan Belanjawan 2019, kerajaan bercadang untuk mengenakan levi pelepasan bagi semua penumpang udara ke luar negara, iaitu RM20 ke negara ASEAN dan RM40 ke negara lain mulai 1 Jun 2019 dalam usaha menggalakkan pembangunan pelancongan domestik.










