Menolak bunga-bunga cinta yang sedang berkembang di hatinya dan Zahirah Macwilson sekadar gimik, kata Aiman Hakim Redza, apa yang berlaku ketika ini adalah sebuah hubungan yang telus.
Enggan mengulas panjang, namun melalui senyuman pelakon kacak ini seperti memberitahu dia kini dilamun cinta dengan anak kepada pelakon Zainol Macwilson itu.
“Hubungan ini bukan gimik, ini adalah hubungan yang telus dan jujur.
“Sebenarnya saya tidak mahu mengulas panjang apa yang berlaku antara kami. Saya lebih selesa sekiranya dia berada bersama untuk bercakap soal ini. Dalam keadaan sekarang saya perlu hormati dia, keluarganya dan keluarga saya sendiri,” kata Aiman ketika ditanya mengenai usia perkenalan mereka.
Kedua-duanya kini selesa menggunakan tanda pagar #zahirAH dalam laman sosial masing-masing iaitu gabungan nama Zahirah dan Aiman Hakim. Justeru, sudah ada yang menggambarkan mereka berdua bakal mengikut jejak langkah beberapa pasangan popular lain.
Tidak melihat perkara ini sebagai sesuatu yang negatif, jelas Aiman, dia akan sentiasa menghargai perkara yang baik.
“Jika tiada siapa yang godam laman sosial saya, maka tanda pagar itu memang akan terus digunakan (ketawa).
“Jika perkara ini positif (pasangan pilihan peminat) tidak ada masalah sebab saya memang menunggu sesuatu yang positif melalui hubungan ini,” katanya lagi.
Mengambil masa untuk menjelaskan sisi Zahirah yang berjaya menawan hati lelakinya, bagi Aiman, 29, dia perlu memahami jawapan yang diberi dalam memastikan Zahirah sendiri yakin dengan keikhlasan hatinya.
“Zahirah berjaya menzahirkan Aiman Hakim.
“Dalam kata lain yang lebih mudah, saya sukakan dia kerana tahap kejujurannya dalam hubungan ini,” katanya ringkas.
Sentiasa bersedia untuk berlakon di samping kekasihnya itu, Aiman bagaimanapun masih belum mahu berkongsi sebarang tawaran yang mengintai.
“Saya sudah pernah berlakon dengan dia sebelum kami bercinta lagi. Jadi saya sudah lama mengenali dia sebenarnya.
“Soal tawaran itu masih belum boleh dikongsi, tetapi memang sudah ada yang mahu gabungkan kami dalam sebuah karya,” tambahnya.










