KDN warta perintah larangan artikel komunis - Utusan Malaysia

KDN warta perintah larangan artikel komunis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 7 Dis. – Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini mewartakan perintah larangan terhadap satu penerbitan buku bertajuk ‘Album Gambar Sejarah Parti Komunis Malaya (I)’ melalui sebuah warta kerajaan pada 26 November lalu.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata, perintah larangan itu adalah mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).

Tegas beliau, perintah tersebut menetapkan sebarang percetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan itu adalah dilarang secara mutlak di negara ini.

“Penerbitan tersebut dikenakan perintah larangan kerana terdapat kandungan yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan serta mungkin menggemparkan fikiran orang ramai.

“Hal ini kerana penerbitan tersebut didapati cuba mempromosi perjuangan komunis, menyebarkan fakta yang salah dan mengelirukan tentang komunis serta mengandungi unsur membangkitkan sokongan dan simpati terhadap perjuangan komunis yang dikatakan telah berjuang bermati-matian dalam menuntut kemerdekaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, Alwi berkata, jika pihaknya mendapati seseorang individu melakukan kesalahan tersebut boleh dipenjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya mengikut Seksyen 8(2) Akta 301.

“Orang awam juga dialu-alukan menyalurkan aduan kepada Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan di 03–88868047 sekiranya mendapati masih terdapat penerbitan yang mungkin melanggar undang-undang negara,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN