Kaedah membuang tatu - Utusan Malaysia

Kaedah membuang tatu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tatu atau cacah merupakan tanda yang kelihatan akibat dakwat khas di kawasan lapisan dermis kulit. Dakwat yang diletakkan di kawasan dermis, kesannya akan kekal dan sukar untuk dihilangkan. Masalahnya, tatu kini menjadi kegilaan ramai dan ada yang sanggup meletak tatu pada kening bagi menggantikan kening asal dan pada bibir bagi menampakkan bibir merah.

Bagi yang tidak pernah mencuba tatu pada tubuh mereka, sudah tentu mereka tertanya-tanya adakah tatu memberi masalah kepada pemiliknya? Jawapannya, ‘ya’.

1Alahan. 
Salah satu masalah umum akan dihadapi ialah alah pada jenis pigmen atau pewarna yang digunakan.

Simptom seperti bengkak dan gatal-gatal sering berlaku pada bahagian yang mempunyai kesan merah akibat cacah.

Pewarna yang digunakan sewaktu mencorak tatu adalah pewarna industri yang asalnya dihasilkan untuk tujuan lain seperti cat kereta dan dakwat menulis.

2 Jangkitan.
 Kes-kes jangkitan penyakit Hepatitis B hasil daripada mencacah pernah dilaporkan.

Secara teorinya, HIV dan Hepatitis C boleh berjangkit sekiranya jarum yang tercemar digunakan.

Apabila para doktor estetik daripada Persatuan Perubatan Estetik Malaysia bertanya sekumpulan pesakit yang ingin membuang cacah, mereka mendapati satu suku daripada bilangan itu kesal selepas sebulan memiliki tatu.

Lazimnya, jika tatu tersebut berada pada bahagian yang terdedah seperti tangan dan muka sehingga menjejaskan peluang pemakainya mendapat pekerjaan, maka kerja-kerja pembuangan tatu boleh dilakukan oleh doktor estetik.

Berikut beberapa kaedah penyingkiran tatu yang dijalankan di Malaysia:

1 Pembuangan menggunakan laser boleh menghuraikan pewarna kepada partikel-partikel kecil yang boleh ‘dicerna’ oleh kulit.Menggunakan sejenis laser khas iaitu Q-Switched Nd: YAG laser yang mampu mengeluarkan tenaga yang kuat dan hanya bertahan selama beberapa nano saat. Pesakit perlu diberi krim bius sebelum prosedur untuk mengurangkan kesakitan akibat rawatan laser.

Ini mengekalkan rasa panas pada sekitar kulit pada kadar minimum dan mengurangkan parut. Setiap sesi akan mengambil masa 15 hingga 30 minit bergantung pada saiz tatu. Selepas rawatan, bahagian yang dirawat akan mengeluarkan sedikit darah selama beberapa jam dan perlu dilitupi dengan dressing dan rim antibiotik.

Rawatan biasanya akan diberi pada setiap minggu keempat atau keenam dan tidak lebih daripada 20 rawatan diperlukan untuk merawat tatu.

Bagaimanapun, rawatan laser jarang menghilangkan tatu sepenuhnya kerana sekurang-kurangnya sedikit kesan akan ditinggalkan.

2 Excision melibatkan pemotongan bahagian kulit yang mempunyai tatu. Kaedah ini adalah cara terbaik untuk membuang tatu bersaiz kecil.

Ia juga merupakan satu-satunya cara untuk membuang tatu yang kasar bentuknya kerana tidak dihasilkan oleh pembuat tatu profesional. Pembedahan untuk tatu bersaiz besar akan meninggalkan kesan parut.

3 Salabrasion yang menggunakan air garam untuk disapukan ke atas tatu bagi merosakkan kulit.

Kaedah ini akan mengeluarkan pigmen secara perlahan-lahan tetapi teknik ini sudah jarang dipraktikkan hari ini.

Ia mungkin kedengaran agak kuno tetapi jangan sesekali mencubanya di rumah kerana ia perlu dilakukan oleh seseorang pakar dalam teknik tersebut.

Proses membuang tatu sebenarnya rumit dan memakan masa yang panjang. Prosedur tradisional seperti dermabrasion atau pembedahan akan meninggalkan kesan parut . Justeru, prosedur tersebut sudah jarang digunakan hari ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN