Jumlah peminjam enggan bayar hutang TEKUN menurun - Utusan Malaysia

Jumlah peminjam enggan bayar hutang TEKUN menurun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANAH MERAH 25 Dis. – Jumlah peminjam Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional yang masih ingkar untuk membayar balik pinjaman semakin menurun.

Pengerusi TEKUN Nasional, Datuk Seri Mohamad Supardi Md. Noor berkata, hanya 25 peratus daripada 419,483 peminjam yang masih belum melunaskan hutang mereka sehingga hujung tahun ini.

Beliau berkata, jumlah itu berkurangan berbanding pada awal tahun ini dengan kira-kira 45 peratus peminjam tidak membuat bayaran kembali kepada TEKUN Nasional.

“Bayaran balik, memang kita hadapi masalah kerana kita tahu masyarakat susah nak bayar hutang tetapi kita tidak akan menghukum kerana kita akan bagi peluang kedua supaya mereka boleh melunaskan hutang.

“Tetapi kalau sengaja tak nak bayar juga kita akan cari mereka. Wang ini kita pinjam daripada Kementerian Kewangan kalau kita tidak bayar balik macam mana kita nak dapatkan dana untuk kita bantu lebih ramai peniaga,” katanya.

DATUK ADAM ABD. GHANI (kiri) menyampaikan replika cek kepada Presiden KEMUDI, Azran Fitri Rahim (kan

DATUK ADAM ABD. GHANI (kiri) menyampaikan replika cek kepada Presiden KEMUDI, Azran Fitri Rahim (kanan) sambil diperhatikan Datuk Seri Mohamad Supardi Mohd. Noor (dua dari kiri) di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Mahmud Paduka Raja, Tanah Merah petang ini. – UTUSAN ONLINE

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Mahmud Paduka Raja di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kanan (Korporat) TEKUN Nasional, Datuk Adam Abd. Ghani.

Seramai 150 pelajar asnaf dari jajahan ini menerima bantuan persekolahan menerusi sumbangan zakat wakalah TEKUN Nasional.

Pada majlis tersebut, TEKUN turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM2,000 untuk Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI).

Sementara itu, Supardi berkata, TEKUN Nasional juga telah menyalurkan sebanyak RM 465 juta pembiayaan kepada 51,972 usahawan di negeri ini sejak 20 tahun lalu.

“Kelantan adalah negeri terawal operasi TEKUN bermula kerana di negeri ramai peniga dan usahawan kecil serta sederhana yang memerlukan bantuan modal,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN