PUTRAJAYA 29 Dis. – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) bersetuju agar satu jawatankuasa khas ditubuhkan untuk membuat saringan ketat terhadap mana-mana pemimpin UMNO yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, jawatankuasa itu yang diusulkan kepada Presiden dan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), akan dipengerusikan oleh Tan Sri Muhiddin Yassin atau Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Jawatankuasa itu tambahnya, juga wajib memiliki perwakilan daripada sayap parti khususnya Armada.
“Jawatankuasa ini adalah forum terbaik untuk memastikan saringan dan pemilihan ketat dapat dibuat terhadap mereka yang terbabit.
“Ini termasuk dalam perkara melibatkan pengisyitharan aset dan permohonan maaf. Ini yang boleh dikemukakan,” katanya dalam sidang akhbar selepas membuat ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Tahunan Armada 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini hari ini.
Sementara itu, Syed Saddiq yang juga Menteri Belia dan Sukan memberitahu, isu identiti baharu Bersatu juga diketengahkan agar parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu tidak mirip UMNO.
Identiti itu menurutnya, adalah ke arah membawa imej parti yang sinonim dengan usaha membantu golongan B40 selain memastikan supaya kepimpinan Bersatu dilihat beramanah dan berintegiti.
“Selain itu, perkara disepakati adalah agar kepimpinan parti yang berkelayakan dan mempunyai merit diberikan tempat untuk menggerakkan Malaysia Baharu.
“Kita juga fokus kepada model pemilihan baharu. Ini melibatkan satu ahli satu undi yang dilihat perlu diperluaskan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










