PUTRAJAYA – “Jangan kecewakan saya dan negara kita,” kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir yang akan menyaksikan perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Bukit Jalil melibatkan Malaysia menentang Vietnam pada 11 Disember ini.
Dalam pertemuan untuk menyuntik semangat skuad Harimau Malaya di Perdana Putra di sini hari ini, Mahathir berkata, melalui kemenangan, kebolehan negara dapat dibanggakan.
“Kita nak cari kemenangan kerana kita nak berbangga dengan kebolehan negara kita. Sebagai rakyat Malaysia, kita bertanggungjawab mempertahankan maruah dan kehormatan negara,” katanya yang berharap skuad Harimau Malaya akan lakukan yang terbaik untuk mendapat kemenangan.
Pada pertemuan yang dihadiri Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, dan kapten, Zaquan Adha Abd Razak, Hamidin juga menyampaikan jersi No 7 kepada Mahathir.

Malaysia akan bertemu pasukan Vietnam pada perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018 yang akan menggunakan format timbal balik dengan skuad negara bakal melayan kunjungan Vietnam pada 11 Disember sebelum aksi final kedua di Hanoi pada 15 Disember. – Bernama










