'Jangan cemari sungai' - Utusan Malaysia

‘Jangan cemari sungai’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sungai Arang di Sungai Lembing di sini merupakan sumber air bukit utama kepada kira-kira 150 penduduk membabitkan 80 buah keluarga di Kampung Air Terjun Seberang dan Kampung Sungai Arang yang digunakan mereka untuk aktiviti harian seperti mandi, minum serta masak.

Kira-kira 80 tahun penduduk di situ bergantung kepada sumber air bukit itu kerana bekalan air yang diterima daripada Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) terlalu perlahan kerana mereka tinggal di kawasan tinggi.

Selama tempoh itu juga, tia­da sebarang permasalahan dihadapi penduduk di dua kampung berkenaan kerana Sungai Arang terletak di hutan simpan yang merupakan kawasan bagi tadahan air.

Namun, seorang penduduk, Wong Muk Seong, 68, berkata, dua hari lalu mereka mengesan terdapat sebuah jentera yang dibawa masuk ke kawasan hutan di situ dipercayai untuk aktiviti penerokaan.

“Jentera ini membuat laluan bagi memasuki kawasan hutan di sini, kami tidak tahu untuk tujuan apa tetapi tindakan ini boleh mencemarkan air Sungai Arang kerana laluannya melalui sungai ini.

“Laporan dibuat dan pihak Jabatan Perhutanan telah menyita jentera berkenaan kerana pada bulan November dan Disember ini sebarang aktiviti penerokaan hutan adalah tidak dibenarkan,” katanya ketika di­temui pemberita di hutan ber­kenaan di Sungai Lembing, di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk, Lee Keong Fai, 49, berkata, air bukit di hutan itu turut digunakan penduduk di dua kampung ber­kenaan untuk membuat taufu dan mi bagi mereka yang berniaga.

“Sekarang musim tengkujuh dan air sedikit keruh dan apabila sebarang aktiviti pene­rokaan hutan dilakukan sepanjang musim ini pastinya akan mengeruhkan lagi air Sungai Arang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN