GUA MUSANG 20 Dis. – Jambatan sementara Kampung Pulau Setelu di sini yang menjadi penghubung utama jalan Gua Musang-Jeli hari ini ditutup kepada semua kenderaan selepas dinaiki air Sungai Nenggiri walaupun cuaca baik di kawasan ini sejak awal pagi.
Difahamkan, hujan lebat di kawasan hulu Gua Musang menjadi penyebab paras air Sungai Nenggiri naik mendadak dan menenggelamkan jambatan terbabit.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Taufik Maidin berkata, paras air sungai itu dijangka meningkat hari ini dan sebagai langkah keselamatan, jambatan tersebut akan ditutup kepada semua jenis kenderaan sehingga air kembali surut.
“Menurut maklumat orang awam, jambatan itu mulai dinaiki air sejak pukul 9 pagi ini.
“Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menghantar anggotanya ke kawasan itu untuk memantau keadaan jambatan dan keselamatan orang ramai,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mohd. Taufik dalam pada itu menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan rendah di sekitar Sungai Nenggiri supaya sentiasa berhati-hati, peka dengan cuaca semasa serta bersedia untuk berpindah jika keadaan bertambah buruk.
Sementara itu, seorang penduduk, Muhammad Yusuf Abdullah, 37, berkata, rutin hariannya dia untuk ke bandar Gua Musang sering tergendala setiap kali air sungai naik dan menenggelamkan jambatan.
“Minggu lalu, jambatan itu sudah tenggelam kerana hujan lebat. Sekarang ia tenggelam lagi dan ditutup kepada semua kenderaan. Saya terpaksa akur dan tangguhkan urusan,” katanya.










