Isteri maut, suami parah rempuh belakang lori pasir - Utusan Malaysia

Isteri maut, suami parah rempuh belakang lori pasir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT – Seorang wanita maut manakala suaminya parah selepas van yang dinaiki mereka merempuh belakang sebuah lori pasir dalam kemalangan di Kilometer 23 Jalan Klang – Banting – Port Dickson di sini pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 8.30 pagi itu, Zurina Aini Ayop@Ayob, 38, yang duduk di bahagian penumpang belakang van jenis Toyota Hiace meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Sementara, suaminya, Amiruddin Awang, 48, dipercayai seorang guru sebuah sekolah menengah di Tampin, Negeri Sembilan yang parah dikejarkan ke Hospital Banting untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, kemalangan dikatakan berlaku apabila van dipandu Amirudin dipercayai dalam keadaan laju merempuh belakang lori pasir yang berhenti di lorong kiri jalan akibat lampu isyarat merah. 

“Akibat pelanggaran itu, Zurina yang duduk di bahagian penumpang belakang tercampak ke bahagian depan dan meninggal dunia akibat parah di kepala di lokasi kejadian.

“Manakala Amirudin tersepit di bahagian pemandu parah di bahagian tangan, kepala dan dada telah berjaya dibawa keluar oleh anggota bomba sebelum dikejarkan ke Hospital Banting,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi. 

Beliau menambah, pemandu lori berusia 43 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan. 

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN