TIDAK kisahlah apapun nama himpunan yang akan berlangsung di Dataran Merdeka esok. Panggillah apa sahaja sama ada himpunan kesyukuran atau himpunan membantah ICERD, tetapi apa yang pasti ia dijangka menjadi perhimpunan terbesar orang Melayu dalam mempertahankan hak-hak mereka seperti mana termaktub dalam Perlembagaan.
Oleh itu biarkan sahaja kata-kata sinis atau pandangan songsang sesetengah pemimpin Melayu yang beranggapan himpunan tersebut tidak perlu diadakan.
Berhujah kononnya lebih baik membuat kenduri pisang, guna wang untuk ke himpunan itu bagi perbelanjaan persekolahan dan tidak sesuai diadakan pada waktu ini hanyalah kata-kata mereka yang bimbang semangat luar biasa orang Melayu menyokong himpunan tersebut.
Hakikatnya, inilah waktu dan ketika terbaik kepada seluruh orang Melayu tanpa mengira fahaman politik untuk bangkit bersama-sama menyertai himpunan tersebut dengan berpegang teguh kepada ukhwah Islamiah. Sudah cukup selama ini orang Melayu akibat perbezaan dan perebutan kuasa politik mereka menjadi lemah sehingga memberi kesempatan kepada pihak-pihak tertentu untuk memperkukuhkan kedudukan mereka.
Atas sebab itulah ikatan yang menguatkan usaha untuk orang Melayu bersatu ialah persaudaraan sesama Islam. Inilah senjata yang tidak ada kepada pihak lain.
Allah SWT mengingatkan kita di dalam ayat 46 Surah al-Anfal:
“Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah berserta orang yang sabar.”
Kita harus menyedari umat Islam terdiri daripada dua golongan yang saling kuat-menguatkan antara satu sama lain ibarat golongan Ansar (penolong) dan Muhajirin (yang dibantu), tumbuh menjadi sebuah masyarakat Islam yang dinamakan ummah Islamiah yang semakin kukuh dan mampu mempertahankan diri sekiranya mereka dapat menamatkan sebarang permusuhan melalui agenda persaudaraan atas semangat Ukhwah Islamiah.
Justeru itu bagi menjayakan himpunan di Dataran Merdeka yang dinamakan #DaulatHimpunan812, orang Melayu perlu mengenepikan apa juga perbezaan antara mereka. Tiada apa yang lebih penting daripada bersama-sama bersatu untuk mempertahankan kepentingan orang Melayu dan umat Islam tanpa mengganggu gugat kaum lain.
Oleh itu penulis berasa hairan kenapakah ada pihak-pihak termasuk dalam kalangan pemimpin Islam sendiri begitu resah dengan perhimpunan tersebut.
Orang Melayu dan umat Islam lain juga berhak berhimpun seperti mana pihak lain. Kalaulah tiada kebimbangan dizahirkan terhadap beberapa perhimpunan sebelum ini kenapakah apabila melibatkan orang Melayu, ada antara kita bagaikan ‘cacing kepanasan’?
Sepatutnya kita bersyukur kerana detik dan saat yang dinanti-nantikan oleh umat Islam kini semakin tercapai. Perbezaan politik tidak lagi menjadi benteng penghalang untuk penyatuan ummah dan sama-sama bersatu demi kepentingan mereka.
Sampai bilakah kita mahu melihat orang Melayu bertelagah, bermasam muka dan jatuh menjatuhkan antara satu sama lain semata-mata demi mencari kuasa politik.
Mereka yang memandang serong perhimpunan di Dataran Merdeka itu sepatutnya insaf kerana di dalam Islam apapun keadaannya, tidak kira apapun perbezaan atau pendirian politik seseorang, umat Islam itu tetap bersaudara.
Ia ditegaskan oleh Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat 10 yang bermaksud;
“Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.
Justeru ayuhlah! umat Islam, mari kita penuhi Dataran Merdeka sebagaimana umat Islam di Indonesia membanjiri Jakarta pada Ahad lalu dalam perhimpunan ummahnya.
Penulis percaya dan yakin, walaupun perhimpunan hanya dibenarkan selama empat jam bermula pukul 2 petang, tetapi itu bukanlah halangan untuk umat Islam menyampaikan mesej yang jelas bahawa mereka mampu bersatu, apabila ada tangan-tangan nakal ‘semakin gatal’ mahu membuat tuntutan atau melaksanakan agenda mereka tanpa memikirkan sensitiviti umat Islam.
Penulis juga yakin perhimpunan itu bukanlah satu provokasi tetapi sekadar untuk memberi pemahaman sesetengah pihak, sementara umat Islam menerima keputusan rakyat melalui pilihan raya tetapi pada masa mereka juga mahu memberitahu, janganlah melampaui batas sehingga mahu melayan umat Islam bagaikan buih di lautan, banyak tetapi tiada faedah, umat Islam negara ini belum lagi memasuki kategori tersebut.
Apapun kita mendoakan perhimpunan tersebut berjalan lancar, tertib dan mematuhi undang-undang. Buktikan kepada pihak lain, umat Islam juga mampu berkumpul tanpa mencetuskan keadaan huru-hara kerana ia hanya untuk bersyukur dan melahirkan pendirian, itu sahaja.










