PUTRAJAYA – Prosiding inkues perlu dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd. Kassim yang meninggal dunia dalam kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, Selangor pada 27 November lalu.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin berkata, inkues dijalankan bagi melengkapkan siasatan membabitkan anggota bomba itu secara menyeluruh dan sempurna.
Menurut Zuraida, pihaknya menyokong dan menyambut baik keputusan untuk menjalankan prosiding itu sekali gus dapat mengenal pasti punca kematian Mohd. Adib.
“Pada pandangan saya, Kementerian Dalam Negeri telah melakukan keputusan sewajarnya selepas membuat siasatan awal sebelum menjalankan prosiding inkues.
“Jadi, kita serahkan kepada prosiding itu dan majistret akan membuat keputusan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penghargaan Wira Riben Merah di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat di sini hari ini.
Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataannya semalam berkata, Kerajaan mengarahkan inkues dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian anggota bomba Muhammad Adib.
Perkara tersebut telah dimaklumkan oleh Peguam Negara, Tommy Thomas kepadanya menerusi perbincangan selepas dapatan tertentu mengenai sebab kematian Muhammad Adib ditemui.
Siasatan pihak polis melalui rakaman percakapan saksi-saksi, lakonan semula dan juga hasil bedah siasat yang dilakukan oleh pihak forensik patalogi menemukan dapatan tertentu mengenai sebab kematian allahyarham yang hanya boleh didedahkan di mahkamah kelak.
Dalam pada itu, jelas Zuraida, keputusan bedah siasat telah dibentang kepada Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan inkues akan dijalankan hasil daripada penemuan itu.
“Dalam inkues ini, beberapa pakar forensik dan doktor yang merawat Mohd. Adib akan dipanggil.
“Jadi, saya alu-alukan sekiranya inkues dijalankan sekali gus memberi ruang sekiranya ada bukti dan saksi baharu yang mahu tampil membantu siasatan,” katanya. – K! ONLINE










