PUTRAJAYA 28 Dis. – Laporan siasatan awal membabitkan kejadian Muhammad Adib Mohd. Kassim dipukul telah diambil kira sebelum Kementerian Dalam Negeri memutuskan mengadakan prosiding inkues dalam mengenal pasti punca kematian anggota bomba itu.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, keputusan tersebut dibuat memandangkan keputusan bedah siasat telah dibentangkan kepada Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini.
Sehubungan itu, beliau menjelaskan bahawa pihak kementerian amat berpuas hati terhadap langkah mengadakan inkues yang dilihat bagi melengkapkan siasatan kematian Muhamamad Adib secara menyeluruh.
‘‘Ia akan lebih memberikan peluang untuk menyiasat mereka berada di lokasi kejadian dan pasukan perubatan merawat Muhammad Adib memberikan keterangan dan juga membuka ruang kepada saksi-saksi baharu untuk tampil ke hadapan.
‘‘Dalam soal ini, saya rasa Kementerian Dalam Negeri telah melakukan keputusan wajar. Jadi kita terserah kepada inkues dijalankan dan apa jua keputusan, majistret akan membuat keputusan,’’ katanya.
Beliau berkata dalam sidang akhbar selepas Majlis Penghargaan Wira Riben Merah di Ibu pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Mohammad Hamdan Wahid.
Semalam, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan mengarahkan inkues dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian Muhammad Adib yang meninggal dunia selepas cedera akibat diserang dan dipukul dalam kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, Selangor pada 27 November lalu.
Katanya, perkara itu diputuskan Peguam Negara, Tommy Thomas selepas berbincang dan meneliti dapatan tertentu polis menerusi rakaman percakapan saksi, lakonan semula dan hasil bedah siasat pihak forensik patalogi yang hanya boleh didedahkan di mahkamah.
Peguam Negara memaklumkan bahawa selaku Pendakwa Raya dalam menjalankan kuasanya di bawah Seksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah akan mengarahkan Majistret untuk membuat siasatan (inkues) bagi menentukan sebab kematian Allahyarham.
Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari bertarung nyawa.
Sementara itu, dalam majlis yang sama, Zuraida menyerahkan simbolik kenaikan pangkat Gred KB22 secara posthumous kepada bapa Muhammad Adib, Mohd. Kassim Abdul Hamid.
Beliau juga menyampaikan pelbagai bantuan kebajikan dan sumbangan kepada keluarga Muhammad Adib yang keseluruhannya berjumlah RM298,755.










