WAMENA, Indonesia – Tentera Indonesia semalam mula memburu kumpulan pemberontak yang disyaki membunuh sekumpulan buruh binaan di wilayah Papua selepas mangsa-mangsa terselamat menceritakan kisah pembunuhan beramai-ramai itu.
Mereka yang terselamat menyatakan pembunuhan itu membabitkan sekurang-kurangnya 19 orang dan jika perkara itu dapat disahkan, ia akan menandakan keganasan paling teruk berlaku wilayah itu selepas berpuluh-puluh tahun berdepan pemberontak kecil-kecilan yang menuntut kemerdekaan.
Kira-kira 150 anggota tentera Indonesia memberi tumpuan operasi di Nduga, kawasan sama kakitangan kontraktor milik kerajaan, Istaka Karya menjalankan kerja-kerja pembinaan jambatan dan jalan raya untuk menambah baik kemudahan di wilayah miskin itu.
Sebahagian penduduk Papua tidak menyukai usaha yang dilakukan Indonesia kerana mendakwanya sebagai satu cara (Indonesia) meningkatkan kawalan ke atas wilayah yang berkongsi sempadan dengan negara berdaulat, Papua New Guinea.
Seramai empat pekerja, termasuk tiga yang cedera ditembak, merupakan antara sejumlah orang awam yang dipindahkan dari kawasan tersebut.
“Kami akan meneruskan operasi pemindahan mangsa lain hari ini (semalam) dan mencari mereka yang bertanggungjawab,” kata jurucakap tentera Papua, Muhammad Aidi.
Seorang mangsa yang terselamat mendakwa kira-kira 50 pemberontak memasuki kem buruh binaan pada Sabtu lalu sebelum membawa mereka pergi dengan keadaan tangan diikat.
Keesokan harinya, pemberontak menembak mati satu kumpulan buruh binaan sementara sebilangan mangsa lain cuba melarikan diri, katanya.
Dia menyatakan enam buruh binaan berjaya ditangkap semula sebelum disembelih anggota pemberontak terbabit.
Laporan akhbar sebelum ini menyatakan angka kematian adalah seramai 24 hingga 31 orang, namun pihak berkuasa tempatan belum mengesahkan jumlah sebenar yang terkorban. – AFP










