BURNLEY 6 Dis. – Jurgen Klopp, hari ini, mengkritik corak permainan fizikal Burnley sehingga menyebabkan Liverpool terpaksa berdepan isu kecederaan yang serius selepas Reds bangkit daripada ketinggalan satu gol, bagi mengekalkan aksi tanpa kalah sejak musim Liga Perdana Inggeris bermula.
Kemenangan ke-12 bermakna Liverpool kekal di kedudukan kedua yang menyaksikan mereka melakar pencapaian permulaan musim terbaik selepas 15 perlawanan, namun Klopp mendedahkan, dia terpaksa merayu kepada pengadil perlawanan supaya memberikan perlindungan kepada pemainnya daripada terjahan keras pemain Clarets, tetapi tidak diendahkan.
Joe Gomez berdepan kebarangkalian terpaksa diketepikan selepas pertahanan England itu diusung keluar padang dalam perlawanan yang berkesudahan Liverpool meraih kemenangan 3-1 di Turf Moor,yang turut menyaksikan Reds kembali merapatkan jurang dengan Manchester City kepada dua mata di persada liga.
Gomez akan menjalani ujian imbasan pada buku lali kirinya ekoran terjahan keras oleh pertahanan tuan rumah, Ben Mee.
“Burnley mempunyai perancangan terperinci untuk beraksi secara fizikal dan agresif. Joe ditimpa kecederaan, dan mungkin masalah yang dihadapinya lebih serius. Kami akan memantau keadaannya. Setakat ini kami tidak memiliki sebarang jawapan dan kita tunggu sahaja esok (hari ini),” kata bos Liverpool itu.
Bagaimanapun, reaksi berbeza ditunjukkan pengurus Burnley, Sean Dyche yang enggan mengemukakan sebarang permohonan maaf berikutan permainan kasar yang dipamerkan skuad bimbingannya, malah, sebaliknya mereka sekadar dilayangkan satu kad kuning.
“Saya yakin apabila saya merungut mengenai perkara ini akan menyebabkan saya tidak mempunyai ramai kawan di sini, tetapi itu bukan tugas saya. Saya kata (kepada pengadil) selepas kekasaran pertama, saya tidak tahu siapa yang melakukannya, tetapi ia satu terjahan keras di mana pemain berlari sejauh lima hingga enam meter untuk mendapatkan bola,” ujar Klopp. – AFP










