Eksport diunjur meningkat 10.8 peratus - Utusan Malaysia

Eksport diunjur meningkat 10.8 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 4 Dis. – RAM Ratings mengunjurkan eksport Malaysia berkembang 10.8 peratus pada Oktober biarpun Amerika Syarikat (AS) menaikkan kadar tarif terkini untuk China bermula 24 September.

Ketua Penganalisis RAM Ra­tings, Kristina Fong berkata, ini kerana aktiviti rantaian nilai glo­bal mungkin kekal berdasarkan pesanan yang diterima di tengah-tengah kebimbangan yang lebih besar berikutan kenaikan tarif AS daripada 10 peratus kepada 25 peratus terhadap AS$200 bilion (RM829.4 bilion) barangan import China yang sebelum ini dijadualkan berkuat kuasa 1 Januari 2019.

Katanya, peningkatan tarif oleh AS dijangka ditunda berikutan perbincangan baru-baru ini antara Presiden Donald Trump dan Xi Jinping pada Sidang Kemuncak G20 di Buenos Aires, Argentina dan mereka telah mencapai persetujuan perdamaian selama 90 hari untuk rundingan baharu.

“Walaupun langkah ini dapat menghentikan seketika perang perdagangan untuk saat ini, ketidakpastian masih mempengaruhi prospek permintaan luar. Oleh itu, momentum permintaan semasa boleh merosot untuk sementara waktu dalam masa terdekat sehingga Februari akan datang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Fong, selaras dengan permintaan luaran yang mapan, pertumbuhan import dijangka meningkat kepada 6.4 peratus pada Oktober dan secara kese­luruhannya lebihan daga­ngan dijangka meningkat pada RM14.3 bilion pada bulan sama.

“Walaupun berhadapan de­ngan ketidaktentuan global, Malaysia masih merupakan destinasi menarik bagi pelaburan langsung asing seperti digariskan oleh peningkatan pelaburan yang diluluskan separuh pertama 2018 yang sepatutnya membantu merangsang lebih banyak aktiviti perindustrian dan pertumbuhan eksport dalam jangka panjang.

“Malaysia juga merupakan antara negara yang menerima kesan positif akibat perang daga­ngan AS-China yang berterusan memandangkan daya saingnya terutama dalam semikonduktor dan bahan kimia,” katanya.

Baru-baru ini, Wakil Perdagangan AS, Robert Lighthizer berkata, beliau sedang mengkaji semua kaedah yang ada bagi menaikkan tarif AS ke atas kenderaan China kepada 40 peratus, kadar sama yang dikenakan China ke atas kenderaan yang dikeluarkan di AS ketika ini.

Lighthizer berkata demikian dalam satu kenyataan mengkritik tarif tinggi dikenakan China ke atas kenderaan AS itu, yang mana beliau mengambil tindakan itu atas arahan Presiden Donald Trump.

AS mengenakan 25 peratus tarif ke atas kenderaan China, tambahan kepada 2.5 peratus yang biasa dikenakan.

China merendahkan tarif untuk semua negara lain kepada 15 peratus, tetapi mengenakan tambahan 25 peratus ke atas kenderaan AS sebagai tarif tindak balas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN