KUALA LUMPUR – Hotel Dorsett Hartamas Kuala Lumpur mengumumkan pelantikan Salsabil Mohd. Salim, 34, sebagai Eksekutif Sous Chef baharu hotel bertaraf mewah berkenaan.
Kehadiran beliau dengan pengalaman dan pengetahuan luas selama 18 tahun dalam bidang kulinari dilihat mampu membawa satu dinamik baharu dalam penyediaan makanan sekali gus memberi kepuasan kepada pelanggan hotel.
Selain itu, pelantikan tersebut juga bakal menyaksikan beliau menerajui restoran yang diberi nama Table Talk dijadualkan dibuka bermula awal tahun depan.
“Saya begitu teruja dapat menjadi sebahagian daripada keluarga Dorsett dan sudah tidak sabar untuk menerajui pembukaan Table Talk.
“Ia memberi peluang buat kami memperkenalkan dimensi makanan baharu kepada para pengunjung supaya mereka dapat menikmati satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan,” kata Chef Salsabil.
Beliau akan diberi tanggungjawab untuk memantau setiap operasi dapur selain menu makanan yang disediakan untuk bilik mesyuarat, dewan banquet serta program-program di hotel bertaraf antarabangsa tersebut. – K! ONLINE










