KOTA TINGGI – Dua kru kapal warga Bangladesh dan China maut manakala seorang lagi kru masih hilang apabila sebuah kapal tongkang (barge) MV Amanda membawa muatan batuan karam di perairan Tanjung Sepang, dekat sini petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu mengakibatkan kru kapal warga China iaitu Tang Yaozong, 48 dan seorang lagi kru kapal warga Bangladesh, Md. Jeher, 47 maut manakala seorang lagi kru kapal warga Bangladesh, SM Faruk, 28, masih hilang.
Pengarah Maritim Malaysia (APMM) Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, kapal yang berdaftar di Malakal Harbour, Palau, Selatan Pasifik itu dalam perjalanan dari Belungkor menuju ke sebuah kawasan pembinaan di Desaru.
“Menurut maklumat yang diterima daripada kapten kapal, kapal terbabit dipercayai mengalami kerosakan pada bahagian jana kuasa menyebabkan bahagian kemudi kapal tidak dapat mengawal kapal kerana keadaan ombak yang terlalu kuat.
“Bagaimanapun, ombak yang terlalu kuat telah menolak kapal tersebut sehingga bertembung dengan kapal lain sebelum ia terbalik lalu karam,” katanya Pengkalan Maritim Malaysia Tanjung Pengerang di sini semalam.
Aminuddin berkata, kapal terbabit yang membawa seramai sembilan orang kru kapal warga Bangladesh dan China berumur lingkungan 23 hingga 51 tahun kemudiannya menerima bantuan dari sebuah kapal Dagang TB HMS 14 yang berada berdekatan lokasi kejadian bertindak menghulurkan bantuan.
“Sebanyak enam kru berjaya diselamatkan dan dibawa ke Klinik Kesihatan Sungai Rengit untuk rawatan,” katanya.
Beliau menambah, susulan itu, usaha mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan bagi mengesan mangsa yang hilang dan dua daripadanya berjaya ditemui di permukaan lalut selepas kapal terbabit tengelam sepenuhnya kira-kira pukul 7 petang.
“Kita masih lagi mengesan seorang lagi mangsa yang masih hilang dan pasukan selam juga bersiap siaga untuk melakukan selaman bagi mencari mangsa yang masih hilang berkemungkinan terperangkap di dalam badan kapal,” katanya. – K! ONLINE










