KOTA BHARU 5 Dis. – Sekurang-kurangnya 100,000 penyokong Pas dari negeri ini dijangka menghadiri himpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) #DaulatHimpunan812 di ibu negara, Sabtu ini.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, perhimpunan yang bertujuan menyatakan pendirian dan rasa syukur rakyat di atas respons positif kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam isu ICERD diyakini akan berjalan lancar dalam suasana aman tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Katanya, Pas sendiri akan menggerakkan lebih 10,000 anggota Jabatan Amal parti itu dari seluruh negara bagi melancarkan lagi perjalanan program termasuk mengawal lalu lintas, memberi bantuan kecemasan kepada peserta serta membantu pihak berkuasa menjaga ketenteraman di lokasi program.
“Kita sasar untuk gerakkan kira-kira 100,000 dari Kelantan melibatkan penyokong Pas, manakala penyokong UMNO pula kita tidak tahu kerana perkara ini merupakan urusan parti masing-masing.
“Para peserta ini ada yang pergi dengan bas, kereta dan pelbagai cara lagi. Ada yang ditaja, ada yang beli tiket sendiri. Ini inisiatif masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Exco Kerajaan Pas Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Selepas mempengerusikan mesyuarat, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob turut mengumumkan cuti peristiwa sehari selepas perhimpunan, iaitu pada 9 Disember bagi memberi lebih ruang dan keselesaan kepada rakyat untuk menyertai program tersebut.
Cuti peristiwa itu dikatakan memudahkan peserta dari negeri ini menguruskan perjalanan masing-masing dengan lebih lancar memandangkan Ahad merupakan hari bekerja di Kelantan.
Mengulas lanjut, Mohd. Amar menasihatkan ahli Pas supaya menjaga adab serta patuh pada arahan pihak berkuasa bagi memastikan ketenteraman awam dapat dikekalkan sepanjang program berlangsung.
“Kita juga nasihatkan ahli Pas supaya tidak mudah terpengaruh dengan sebarang provokasi yang cuba ditimbulkan pihak tertentu pada hari kejadian. Kalau ada provokasi, jangan layan, sebaliknya buat laporan kepada pihak berkuasa,” katanya. -UTUSAN ONLINE










