Stigma masyarakat terhadap status duda atau janda memberikan kesan berpanjangan terutama melibatkan soal jodoh. Mengulas hal berkenaan, Namee Roslan atau nama sebenarnya, Nameerah Roslan, 30, menganggap gelaran itu tidak memberikan kesan kepadanya. Malah, dia membuktikan keputusan berkahwin dengan duda yang lebih berusia adalah tepat dan tidak pernah dikesalinya.
Katanya, jarak umur sehingga 19 tahun bukan halangan untuknya menerima jodoh tersebut.
Tidak pernah terlintas di kotak fikirannya bahawa satu hari kelak dia akan menjadi seorang ibu tiri kepada dua anak lelaki.
Ketika itu, Namee aktif menulis blog mengenai jalan hidupnya.
Menjadikan perkahwinan sebagai cabaran untuk melengkapkan tanggungjawab sebagai seorang isteri, ibu tiri serta ibu kandung kepada Ariel Adam Rumi dan Noah Ikhsan Rumi, Namee berkongsi detik awal pertemuan dengan suami.
Katanya, ia merupakan pertemuan yang tidak dirancang.
“Saya bertemu suami (Ishamuddin Kader) ketika berusia 18 tahun dan dia pula berumur 37 tahun. Ketika itu saya bersama rakan berada di pusat beli-belah Mid Valley. Pada awalnya, kami berkawan biasa.
“Namun, apabila sudah beberapa bulan berkawan, suami meluahkan isi hatinya. Pada mulanya saya berasa kekok kerana umur suami terlalu jauh, tetapi dengan sikapnya yang matang menjadikan saya selesa walaupun hakikatnya kami tidak seperti pasangan bercinta yang lain.
“Ini kerana perbualan kami lebih kepada perkara seharian dan tidak fokus pada soal hati. Kami jarang bergaduh dan berjumpa,” katanya.
Menurutnya, apabila mendapat tahu tentang status Isham seorang duda, dia menerimanya dengan tenang, tetapi dalam masa yang sama Namee memikirkan reaksi masyarakat dan keluarga.
“Biasanya, status janda atau duda dipandang serong oleh masyarakat. Hal itu membuatkan saya berfikir bagaimana cara untuk beritahu keluarga.
“Nasib baik saya jenis yang tidak cepat ‘melatah’. Saya bermonolog sama ada hati saya lapang menerimanya sebagai suami.
“Alhamdulillah, saya okey. Saya tidak pasti kenapa saya berasa okey ketika itu. Mungkin pada masa itu saya selesa dengan sikap yang ditunjukkan Isham,” tambahnya.
Kata Namee, ada ahli keluarga dan rakan-rakan menerima, tetapi ada juga sebaliknya. Setiap hujah yang diterima mempunyai sebab. Contohnya, kenapa perlu berkahwin dengan lelaki berusia sedangkan ramai lelaki yang muda atau sebaya.
“Sesetengah pihak mempertikaikan kenapa perlu mengahwini duda yang sudah ada anak. Kebanyakan pendapat selalunya memberi stigma bahawa status janda atau duda menjurus kepada sikap yang tidak elok dan penceraian pasti berlaku.
“Saya terima semua pendapat dengan hati terbuka dan tidak menganggap teguran itu sebagai kritikan. Apa yang lebih penting adalah kata hati saya ketika itu,” kata Namee.
Bercakap tentang anak tiri, katanya: “Pada mulanya memang agak janggal kerana kami tidak pernah berbincang tentang panggilan untuk saya.
“Mungkin rasa pelik untuk memanggil saya dengan panggilan mak atau ibu memandangkan jarak umur saya dan anak tiri seperti kakak dan adik sahaja.
“Akhirnya, anak sulung memanggil saya ‘kakak’, manakala anak tiri kedua memanggil saya ‘mak cik’. Jarak umur yang dekat membuatkan kami menjadi seperti kawan.
“Ada juga netizen menganggap anak tiri sulung adalah suami saya yang baharu kerana beza usia kami hanya lima tahun membuatkan orang selalu salah anggap,” ujarnya yang memaklumkan anak-anak tirinya merupakan warganegara Singapura dan kini menetap bersama ibu kandung mereka.
Apabila tiba musim cuti sekolah dia akan mengajak anak-anak tiri menyertai percutian keluarga sekali gus mendekatkan mereka dengan anak kandung Namee iaitu Adam dan Noah.
“Saya boleh nampak usaha mereka melayan adik-adik yang masih kecil. Kalau mereka nampak saya sibuk mengemas atau melakukan kerja rumah, anak tiri sulung akan bermain dengan mereka,” katanya lagi.
Dari awal perkahwinan hingga sekarang, ada beberapa perkara yang Namee selalu tekankan antaranya sentiasa menjaga hubungan dengan anak tiri dan hubungan mereka dengan ayah kandung.
“Paling penting jangan cuba masuk campur dalam urusan suami atau mengungkit kisah lama suami dengan bekas isteri,” ujarnya.
Menutup bicara katanya, keputusan untuk berkahwin dengan seseorang yang berstatus janda atau duda bermaksud kita bersedia menerima masa silamnya dengan hati yang lapang dan seadanya.
“Jika tidak bersedia menghadapinya, lebih baik jangan. Ini kerana banyak perkara termasuk yang remeh boleh menjadi punca persengketaan jika hati kita tidak betul-betul menerimanya,” pesannya.










