Bukan rombak tetapi tambah seorang lagi Exco - MB - Utusan Malaysia

Bukan rombak tetapi tambah seorang lagi Exco – MB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Kerajaan negeri Selangor menafikan akan melakukan rombakan terhadap portfolio Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco) bagi meningkatkan keberkesanan pentadbiran mereka. 

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, sebaliknya cuma penambahan seorang lagi Exco akan dilakukan bagi melengkapkan 10 poftfolio bagi kerajaan negeri.

Katanya, ini berikutan kekosongan porftolio Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi selepas kematian Allahyarham Prof. Dr. Shaharuddin Badaruddin akibat kanser usus pada 2 Ogos lalu.

Difahamkan, portfolio tersebut diambil alih oleh Amirudin ketika ini yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kewangan, Pembangunan Tanah dan Pengurusan Sumber Alam, Pembangunan Generasi Muda & Sukan serta Komunikasi Strategik Selangor.

“Sepatutnya kuota adalah seramai 10 orang dan kita perlu mengisi kekosongan portfolio yang ditinggalkan oleh Allahyarham Shaharudin.

“Saya memikul potfolio yang berat sebenarnya dan perlu melengkapkan 10 orang (Exco) itu,” katanya ketika ditemui selepas majlis perhimpunan bulanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah akhbar tempatan yang mendakwa akan berlaku rombakan Exco Selangor dengan beberapa Exco lama bakal digugurkan.

Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua menegaskan belum mempunyai sebarang tarikh bagi pengumuman seorang lagi Exco yang baharu itu.

“Tarikh belum ada dan calonnya pun setakat ini belum ada ilham lagi. Kalau ada sudah tentu saya akan memberitahunya,” katanya.

Terdahulu pada majlis tersebut, Amirudin menyampaikan sumbangan RM20,000 daripada kerajaan negeri kepada waris enam penyelam Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) lemas dalam operasi mencari dan menyelamat di lombong Taman Putra Perdana pada 3 Oktober lalu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN