JOHOR BAHRU 28 Dis. – Kumpulan Brahim’s Dewina menawarkan diskaun sehingga 40 peratus produk Brahim’s yang dijual pada siri jelajah terakhir Brahim’s Anyone Can Cook di Angsana Mall di sini bermula hari ini hingga Ahad ini.
Pengurus Jualan dan Pemasaran Dewina Trading Sdn. Bhd., Mohamad Fazil Othman berkata, pada siri jelajah selama tiga hari itu, sebanyak 45 produk makanan sedia dihidang membabitkan 500 karton akan ditawarkan diskaun kepada orang ramai.
Selain itu, tambahnya, mereka turut mempromosikan tiga perasa baharu kategori nasi iaitu Nasi Goreng Cina, Nasi Goreng Pedas dan Nasi Goreng Kicap dan pek kembara Self Heating, masing-masing dilancarkan pada Julai dan November lalu.
“Pemberian potongan diskaun ini diberi hasil maklum balas dan sambutan yang baik daripada pengguna setia produk kami di negeri ini dan juga dari Singapura menerusi jelajah yang diadakan pada tahun lalu.
“Johor yang terletak bersebelahan dengan Singapura merupakan antara negeri tumpuan kami dalam mempromosikan produk keluaran Brahim’s,” katanya ketika ditemui pada promosi siri jelajah itu di sini hari ini.
Menerusi jelajah itu juga, katanya, pihaknya mengadakan demonstrasi masakan di samping menjalankan aktiviti bersama keluarga dan cabutan bertuah kepada pengunjung di pusat beli belah itu pada hari Ahad.
Mohamad Fazil berkata, penganjuran progam seumpama itu juga merupakan antara usaha berterusan syarikat dalam menghargai pelanggan setia selain ia diadakan bersempena ulang tahun ke-30 syarikat itu.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, syarikat itu juga akan mengadakan program pendakian bagi mempromosi pek kembara Self Heating ke 12 gunung di negara ini dengan siri pertama di Gunung Bintang, Kedah bermula 25 hingga 27 Januari ini.










