KUALA LUMPUR 15 Dis. – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersedia dan tidak mempunyai halangan untuk menerima keahlian bekas ahli mana-mana parti pembangkang dengan syarat, mereka melepasi proses tapisan yang ditetapkan serta insaf dan sedar atas kesilapan kerana menyokong pemimpin ‘kleptokrat’ sebelum ini.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya juga tidak terikat untuk menawarkan apa-apa jawatan kepada mereka setelah menyertai Bersatu.
“Suka saya menegaskan bahawa Bersatu mempunyai dasar, peraturan dan mekanisme tersendiri dalam mempertimbangkan kemasukan ahli-ahli baharu sepertimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan parti.
“Sebagai sebuah parti yang demokratik, Bersatu bersedia menerima keahlian mana-mana individu selagi ianya selari dengan dasar, peraturan dan mekanisme yang telah ditetapkan oleh parti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, enam ahli Parlimen UMNO keluar parti dan mereka ialah Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid: Datuk Dr. Latiff Ahmad (Mersing); Datuk Shabudin Yahaya (Tasek Gelugor), Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Larut), Datuk Mohd. Fasiah Mohd. Fakeh (Sabak Bernam) dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abd Aziz.
Rabu lalu, seramai lima ahli Parlimen, sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), dua senator dan 21 Ketua UMNO Bahagian Sabah turut diumumkan keluar parti. – UTUSAN ONLINE











