PUTRAJAYA 26 Dis.- Pembayaran Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 fasa pertama sebanyak RM300 akan dilaksanakan pada 28 Januari ini dengan mengikut pangkalan data dan kaedah lama.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menjelaskan, kerajaan terpaksa menggunakan pangkalan data lama yang kemungkinan besar mengandungi nama penerima yang tidak layak bagi membolehkan bayaran dibuat sebelum Februari 2019.
Menurut beliau, proses pemutihan yang akan mengeluarkan nama penerima yang tidak layak kerana mereka bukannya daripada golongan berpendapatan rendah (B40) memerlukan masa panjang untuk dilaksanakan.
“Setelah pangkalan data dikemaskini, baki bayaran BSH yang akan disalurkan pada fasa kedua dan ketiga akan menggunakan kaedah baru seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2019.
“Proses kemas kini data perlu dilaksanakan untuk pembayaran fasa kedua dan ketiga selaras dengan penambahbaikan program BSH secara lebih bersasar dan bergantung kepada saiz isi rumah. Kriteria pembayaran dan kaedah baru akan diumumkan dalam jangka masa yang terdekat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pada masa sama, Guan Eng menambah, atas keprihatinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, pembayaran BSH 2019 dijangka memanfaatkan kira-kira 4.1 juta isi rumah melalui pembayaran fasa pertama sebanyak RM300 bagi setiap isi rumah.
Katanya, jumlah itu akan melibatkan peruntukan berjumlah RM1.2 Bilion dengan pembayaran dimasukkan terus ke dalam akaun bank penerima.
“Seperti yang diumumkan dalam ucapan Belanjawan 2019, kerajaan akan meneruskan program BSH untuk menjaminkan kesejahteraan ekonomi rakyat dengan membantu golongan B40 meringankan kos sara hidup mereka,” katanya.-UTUSAN ONLINE










