Ayuh sokong #DaulatHimpunan812 - Utusan Malaysia

Ayuh sokong #DaulatHimpunan812

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAMPAKNYA Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani amat ‘berminat’ tentang Islam. Apa tidaknya, sudah dua kali beliau cuba ‘memperjuangkan’ Islam di dalam sidang Dewan Rakyat.

Isnin lalu Kashturi ‘menyindir’ Kerajaan Negeri Kelantan dalam isu kahwin bawah umur sebenarnya langsung tidak berasas dan melampaui batas. Sebabnya, perbuatan tersebut seolah-olah memberi gambaran isu perkahwinan kanak-kanak serta pedofilia berlaku secara berleluasa tanpa kawalan di Kelantan sedangkan fakta menunjukkan sebaliknya.

Mengikut data yang dikemukakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, jumlah kanak-kanak bawah umur bukan Islam yang berkahwin dengan pasangan dewasa di Pulau Pinang adalah 38 orang, manakala di Kelantan hanya empat orang. Malah, Kelantan mencatatkan jumlah ketiga terendah selepas Terengganu dan Perlis.

Pada 17 Oktober lalu, Kashturi mendesak kerajaan menghentikan tangkapan ke atas individu yang menganut fahaman Syiah Imamiyyah dan ajaran sesat lain dengan alasan fahaman-fahaman itu adalah agama yang berbeza daripada agama Islam.

Inilah yang menghairankan. Mengapa ada orang bukan Islam yang sibuk mahu masuk campur hal ehwal agama Islam. Lebih membimbangkan, tindakan nak menjaga tepi kain orang Islam itu berlaku di Malaysia yang Islam itu adalah agama bagi negara. Kepada golongan ini, kita nasihatkan kalau ingin ‘memperjuangkan’ Islam, masuk Islam dahulu.

Perkara 3 (1) Per­lem­ba­­ga­an Persekutuan mem­peruntukkan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Peruntukan itu jelas menunjukkan kebebasan beragama diberi kepada rakyat Malaysia.

Namun, dalam masa yang sama kita juga mesti meratifikasi perkara yang memperuntuk Islam adalah agama Persekutuan serta perkara-perkara lain berkaitan Islam yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, termasuk Perkara 11(4).

Mengenai syiah pula, pada Mei 1996, Majlis Fatwa Kebangsaan menarik balik kebenaran mengamalkan mazhab syiah aliran Al–Zaidiyah dan Jaafariah di Malaysia, menjadikan semua amalan syiah tidak diterima di negara ini. Fatwa juga menetapkan umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) dari segi akidah, syariah dan akhlak.

Satu lagi cubaan untuk menggugat hak keistimewaan orang Melayu dan Islam adalah desakan supaya kerajaan menerima ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Untuk itu, adalah penting bagi umat Islam menunjukkan kesatuan dalam menolak ratifikasi tersebut yang dijadualkan di ibu negara, esok. Perhimpunan #DaulatHimpunan812 itu penting bagi menunjukkan kepada mana-mana pihak supaya tidak cuba mengusik hak keistimewaan serta soal berkaitan akidah orang Melayu dan Islam.

Sejarah juga membuktikan, orang Melayu selama ini sudah cukup baik terhadap bangsa lain dan sentiasa menghormati budaya dan agama mereka. Malah, kita juga tidak mencampuri urusan agama bukan Islam.

Dalam situasi begini, umat Islam perlu bangkit buktikan kesatuan tanpa mengira fahaman politik atau warna kulit. (Rujuk ayat 103 surah ali-Imran).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN