Armada digesa segerakan perubahan jayakan matlamat parti - Utusan Malaysia

Armada digesa segerakan perubahan jayakan matlamat parti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan harapan kepada Angkatan Anak Muda Bersatu (Armada) agar segera melaksanakan perubahan yang diperlukan bagi menjayakan matlamat perjuangan parti dan negara.

Beliau berkata, sebagai generasi pelapis kepada tampuk kepimpinan parti, Armada yang dibarisi golongan belia harus membuktikan bahawa mereka mampu mengubah diri daripada personaliti tidak berkebolehan kepada personaliti boleh berjaya.

“Kepada yang tua, mereka sudah jadi keras dan tidak dapat dibentuk. Mereka mempunyai jawapan kepada apa sahaja yang kita lakukan. Mereka lebih berpengalaman, lebih pandai dan tidak boleh dibetulkan lagi.

“Inilah harapan kami (pemimpin) yang tua. Masa sudah tidak banyak, mungkinkah dapat saya lihat perubahan yang diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perjumpaan Pengerusi Bersatu bersama perwakilan Armada sempena Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu Kali Ke-2 di Pusat Konvesyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Seramai 1,359 perwakilan daripada 135 bahagian di seluruh negara termasuk wakil daripada 98 sayap Srikandi dan 115 Armada menghadiri perhimpunan tersebut.

Sementara itu, Dr. Mahathir mengingatkan semua perwakilan Armada agar sentiasa bersiap sedia dan berusaha untuk menjayakan agenda perjuangan parti.

“Armada adalah golongan muda dalam Bersatu. Generasi muda adalah pengganti golongan tua macam saya supaya mereka dapat mengganti dan meneruskan perjuangan.

“Maka, Armada perlu bersedia dan berusaha dengan apa yang diperlukan untuk membekalkan diri mereka dengan apa yang diperlukan untuk menjayakan sesuatu perjuangan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×