KUALA LUMPUR 29 Dis. – Tidak cukup nafas Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim membalas kritikan pimpinan PKR hari ini apabila giliran Ketua Wanitanya, Haniza Mohamed Talha pula menegur beliau.
Menurut Haniza, pelantikan Majlis Pimpinan Pusat yang dibuat oleh Anwar gagal mengangkat agenda meletakkan 30 peratus wanita dalam kepemimpinan.
Malah, kata beliau, tindakan Anwar itu seolah-olah meminggirkan agenda pemberdayaan wanita yang dianggap penting dalam era Malaysia baharu.
“Agenda pemberdayaan wanita merupakan satu topik penting dalam membentuk Malaysia baharu dan perkara ini telah pun dinatijahkan dalam pelbagai perkara yang telah dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“Sayangnya, perkara ini seolah-olah telah dipinggirkan oleh Datuk Seri Presiden, dalam pelantikan Majlis Pimpinan Pusat PKR yang telah menyaksikan kurangnya representasi wanita,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Untuk rekod, hanya lima daripada 20 ahli Majlis Pimpinan Pusat merupakan wanita manakala dalam pengumuman jawatan utama kepemimpinan PKR melalui lantikan oleh Anwar semalam, tiada langsung wanita terlibat.
Anwar turut dikritik secara terbuka oleh Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini kerana didakwa melakukan pelantikan yang tidak mencerminkan prinsip representasi yang adil dan saksama.
Perkara itu turut disokong Haniza yang menzahirkan rasa terkilannya kerana Anwar menganggap teguran Azmin itu bersifat peribadi.
“Saya mohon kepada Datuk Seri Presiden untuk tidak bias dan melihat teguran-teguran daripada kami semua anggota PKR sebagai satu perkara yang positif dalam meraikan demokrasi.
“Keadilan itu sendiri bermaksud meletakkan sesuatu perkara di tempat yang hak. Sewajarnya Datuk Seri Presiden mempertimbangkan semula keputusan ini agar keadilan dalam erti kata sebenar dapat ditegakkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










