'Antara derita dan air mata' - Utusan Malaysia

‘Antara derita dan air mata’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAMPAKNYA negara masih lagi tidak stabil dan menyaksikan pelbagai urutan peristiwa yang memberi kesan mendalam kepada rakyat. Kegembiraan yang sekejap bagi meraikan kemenangan Pakatan Harapan tidak mampu bertahan lama. Suasana euphoria tidak bersambut dalam kalangan rakyat bawahan. Yang ada hanyalah keriangan pak menteri dan mereka yang mengisi kekosongan jawatan yang ditinggalkan oleh Barisan Nasional (BN).

Rakyat tertanya-tanya apakah yang dilakukan oleh kerajaan bagi mengurus ekonomi ketika ini. Rakyat juga hairan bagaimana ahli barisan Kabinet yang gajinya dibayar menggunakan wang rakyat hanya mampu memberi alasan menyalahkan kerajaan terdahulu.

Yang menjadi semakin runcing dan merisaukan adalah situasi border testing yang membuka terlalu banyak perdebatan dan perbincangan terbuka dalam perkara-perkara yang sentiasa menjadi ‘bom jangka’ dalam sebuah masyarakat majmuk seperti Malaysia.

Ada pelbagai pihak yang kelihatannya terlalu ghairah mempromosi idea-idea dan gagasan pemikiran yang lebih cenderung mewakili suatu kelompok kecil di dalam masyarakat.

Bermula dengan perbincangan terbuka mengenai hak LGBT yang kononnya terabai dan didiskriminasi, ada juga segelintir pihak melancarkan serangan terbuka kepada institusi beraja. Pelbagai tuntutan yang berasaskan kesamarataan mula kedengaran di sana-sini.

Mereka menjadikan alasan bahawa ini adalah Malaysia Baharu sebagai tunjang dan asas tuntutan mereka.

Kemuncak kepada keresahan orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak adalah disebabkan perbahasan yang dibawa ke Parlimen oleh seorang menteri kerajaan PH yang mengusulkan agar satu konvensyen mengenai anti diskriminasi atau ICERD perlu diratifikasi dan ditandatangani Malaysia.

Cubaan ini amat menguji kesabaran dan semangat toleransi yang selama ini terpelihara, akhirnya cuba dirungkai dan dibicarakan semula.

Tun Abdul Hamid Mohamed, bekas Ketua Hakim Negara sebaliknya telah memberi peringatan keras akan kesan dan implikasi sekiranya konvensyen ini diratifikasi.

Sudah tentulah pandangan bekas Ketua Hakim Negara diambil kira oleh masyarakat negara ini. Apalagi dengan kecenderungan pihak kerajaan yang sering melakukan U-Turn dan flip-flop dalam banyak isu sebelum ini, gagal memberi jaminan dan kepercayaan bahawa hak istimewa orang Melayu Bumiputera akan kekal terpelihara.

Penulis pernah berguru di China dan seorang profesor berpesan agar sentiasalah mengambil kira keadaan faktor tempatan dalam apa jua polisi dan agenda yang mahu dirancang untuk rakyat. Demokrasi ala Barat hanya akan menjadi sebagai racun yang mampu menghancurkan sekiranya tidak disesuaikan dengan keadaan setempat.

Kerajaan China amat melindungi rakyatnya dari terdedah kepada pelbagai agenda demokrasi melampau ala barat yang boleh memporak-perandakan.

Sebab itulah, semua konvensyen yang menyentuh, menggugat dan bertentangan dengan semangat Perlembagaan harus ditentang habis-habisan dan tidak perlu dibincangkan secara terbuka.

#DaulatHimpunan812 merupakan sebuah perhimpunan aman yang awalnya dirancang oleh Sekretariat Ummah bagi menolak ICERD. Selain ICERD, ada beberapa lagi konvensyen yang menjadi ibarat ‘pasir dalam mata’ yang sering dijolok segelintir pihak.

Antaranya seperti tuntutan COMANGO yang dianggotai Pakatan NGO Malaysia yang memperjuangkan hak sama rata anjuran Majlis Hak Asasi Manusia oleh PBB. COMANGO turut mendesak agar Malaysia menerima pakai dan menandatangani International Covenant on Civil & Political Rights (ICCPR). Dalam Artikel 18 ICCPR mengandungi the rights of religious freedom (kebebasan beragama).

Kebebasan untuk memilih agama atau kepercayaan termasuk hak seseorang untuk menukar agama yang dianuti. Malah, Malaysia digesa untuk mengiktiraf hak-hak Sexual Orientation and Gender Identity (SOGI) terutamanya hak-hak lesbian, gay, biseksual, transgender (LGBT).

Tuntutan ini turut merangkumi kepada amalan kebebasan orientasi seksual songsang dengan hukum alam termasuk memberi kebenaran untuk mengiktiraf perkahwinan sesama jenis.

Inilah antara yang menjadi alasan segelintir pihak yang amat meresahkan orang Melayu Bumiputera di negara ini. Perlu diingat bahawa Malaysia tidak mengamalkan prinsip kebebasan mutlak dan kesamarataan sejak awal kemerdekaannya.

Perlembagaan Persekutuan dengan jelas sejak awal ia dirangka telah memberi hak istimewa kepada orang Melayu Bumiputera, meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan kedudukan Raja-Raja Melayu.

Pihak yang menuntut hak sama rata ini amat pasti mahu membelakangkan undang-undang dan tonggak asas Malaysia sebagai negara berdaulat.

#DaulatHimpunan812 adalah perhimpunan yang menyatukan semua rakyat berbilang kaum dan etnik agar sama-sama memelihara kontrak sosial seperti yang diterjemahkan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ia adalah perhimpunan aman rakyat Malaysia keseluruhannya. Kita tunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia harus tetap menjadi Malaysia! Malaysia tidak akan menjadi negara lain kerana di dalamnya, ada keunikan dan kemajmukan yang tidak ada di negara lain!

Rakyat telah mula menderita, dan air mata rakyat terus mengalir kerana sudah tiada lagi ihsan dalam kalangan pemimpinnya.

DATUK DR. NOOR AZIZAN ABDUL MAJID ialah pemikir dan penganalisis politik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN