BATU GAJAH – Seorang lelaki ditahan semalam bagi membantu siasatan berkenaan kes penemuan mayat seorang lelaki warga Bangladesh terapung di Sungai Kinta dekat sini pada Selasa minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, suspek berusia 21 tahun ditahan di rumahnya di Kampar dekat sini pada pukul 3.15 petang.
“Suspek ditahan berhubung kes mayat seorang lelaki warga Bangladesh berusia 32 tahun yang dijumpai orang awam di Sungai Kinta pada 18 Disember lalu.
“Motif kejadian dipercayai berpunca apabila mangsa yang merupakan pekerja ladang berkenaan menafikan kepada isteri suspek bahawa dia keluar makan bersama suspek,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Tambah Mohamad Zainal, perkara tersebut melarat sehingga suspek yang merupakan anak tauke ladang lembu itu dipercayai telah membunuh dan membuangnya ke dalam Sungai Kinta.
“Mayat lelaki berkenaan kemudiannya ditemui tersangkut pada sebatang pokok di dalam Sungai Kinta dalam keadaan tertiarap dan kaki kanannya diikat bersama kotak barangan motosikal sebagai pemberat bagi menenggelamkan mangsa.
“Terdapat kesan kelar pada leher mangsa dan dua kesan luka pada belakang mangsa yang hanya berseluar jean biru jenama Gucci tanpa berbaju itu,” katanya.
Katanya, suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 31 Disember.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. – K! ONLINE










