KUALA LUMPUR – Amanah Ikhtiar Malaysia akan memberi kerjasama penuh kepada kerajaan bagi melaksanakan proses undang-undang sekiranya ada unsur meragukan dalam penubuhan anak-anak syarikatnya yang tidak mengikut syarat Surat Ikatan Amanah 26 April 2012.
Kata Pengerusinya, Junaidah Kiting, pengurusan baharu AIM tidak akan bertolak ansur dengan amalan ketirisan, penyelewengan atau penyalahgunaan dana AIM semasa pentadbiran dahulu.
“AIM sedang berusaha siapkan laporan lengkap dan akan serah kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut dalam tempoh terdekat ini bagi memberikan ruang kepada undang-undang mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana yang terlibat,” jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan, pihaknya juga akan mengemukan laporan kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai hala tuju AIM agar tidak tersasar dari matlamat asal untuk membasmi kemiskinan menerusi pembiayaan keusahawanan.
Selain itu, jelas Junaidah, pihaknya menafikan persepsi umum bahawa AIM akan ditutup sebaliknya ia hanya berkaitan penubuhan anak-anak syarikat sahaja.
“Ia tidak melibatkan operasi AIM secara keseluruhanya sebaliknya hanya berkaitan anak syarikat sahaja,” tambah Junaidah. – K! ONLINE










