Agihan peruntukan khas Ketua Menteri P. Pinang hanya untuk satu kaum? - Utusan Malaysia

Agihan peruntukan khas Ketua Menteri P. Pinang hanya untuk satu kaum?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 29 Dis. – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Gagasan Tiga (G3) hari ini mendakwa berlaku ketidakadilan dalam agihan Peruntukan Khas Ketua Menteri Pulau Pinang antara Januari hingga Jun tahun ini yang mana sebahagian besar peruntukan diberikan kepada satu kaum sahaja.

Perkara itu didedahkan oleh Timbalan Pengerusi G3, Amran Ahmad yang menerima dokumen berkaitan isu itu menerusi pihak yang tidak dikenalinya pada 22 Disember lalu.

Amran mendakwa, isi kandungan dokumen itu yang dimasukkan ke dalam peti surat rumahnya boleh mencetuskan ketegangan antara kaum jika terdedah kepada umum memandangkan agihan peruntukan untuk kaum-kaum yang ada di negeri ini tidak seimbang.

“Saya tidak sebarkan dokumen tersebut jadi saya ke balai polis untuk membuat laporan polis mengenainya,  sama ada dokumen itu benar atau tidak biar polis tentukan.

“Sebagai bekas Pegawai Khas saya melihat ada logik dan kebenarannya kandungan dokumen tersebut yang mana peruntukan Ketua Menteri sebahagian besar diberikan hanya untuk satu kaum, kaum lain termasuk kaum majoriti Melayu dan India kurang mendapat peruntukan Ketua Menteri,” katanya, di sini hari ini.

Terdahulu, Amran bersama ahli-ahli G3 membuat laporan polis berhubung dokumen itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut.

Menurutnya, bagaimanapun beliau tetap bersangka baik dan berpendapat mungkin peruntukan untuk kaum Melayu dan India disalurkan menerusi dua Timbalan Ketua Menteri yang ada.

Dalam pada itu, Amran berkata, beliau bimbang jika trend agihan peruntukan  sebahagian besarnya diberikan kepada satu kaum sahaja tersebut diteruskan oleh kerajaan pada masa ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN