BUTTERWORTH 29 Dis. – Seramai tujuh pelesit rempit ditahan polis ketika sedang leka berlumba haram di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR), di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, kesemua yang ditahan merupakan remaja lelaki berusia 17 dan 18 tahun yang didapati melakukan aksi menunggang motosikal berbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.
“Dua daripada mereka merupakan pelajar kolej, manakala yang lain bekerja kilang dan bekerja sendiri.
“Hasil ujian air kencing bagaimanapun mendapati mereka negatif dadah,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Noorzainy berkata, kesemua suspek ditahan di Balai Polis Trafik Butterworth di sini bagi siasatan lanjut dan disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tambah beliau, operasi sehingga pukul 4 pagi tadi itu dijalankan oleh Skuad 42 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang serta Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah SPU dengan disertai pegawai dan 15 anggota. – UTUSAN ONLINE










