KLANG – Kira-kira 5,000 orang hadir ke perhimpunan ‘Keadilan Untukmu Adib dan Desakan Pecat Waytha Moothy’ yang dianjurkan oleh Gerakan Rakyat Malaysia (Geras) di Dataran Seni di sini hari ini.
Peserta perhimpunan hadir mengenakan baju berwarna hitam sebagai tanda sokongan agar mereka yang bertanggungjawab dalam kejadian yang menyebabkan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim dibawa ke muka pengadilan dengan segera.
Muhammad Adib yang parah dipukul ketika insiden di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya bulan lalu meninggal dunia di Institut Jantung Negara pada 9.41 malam 17 Dis lalu selepas kira-kira tiga minggu menerima rawatan di institut berkenaan.
Peserta perhimpunan terlebih dahulu berkumpul di Masjid Bandar Diraja Klang bagi menunaikan solat jenazah ghaib bagi Muhammad Adib dan solat Asar secara berjemaah yang diketuai imam masjid itu Mohd Azrun Tuniran.
Para peserta perhimpunan mula berarak ke Dataran Seni Klang yang terletak kira-kira 400 meter dari masjid berkenaan pada kira-kira 5.15 petang sambil mengalunkan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW. – Bernama










